PRESIDEN Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal (dua, kiri) menyampaikan sumbangan penghargaan kepada  Arul pada Majlis Menghargai skuad Piala Sultan Azlan Shah 2022 dan Skuad Piala Asia Hoki Dalam Dewan Lelaki dan Wanita di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini. FOTO Bernama
PRESIDEN Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal (dua, kiri) menyampaikan sumbangan penghargaan kepada Arul pada Majlis Menghargai skuad Piala Sultan Azlan Shah 2022 dan Skuad Piala Asia Hoki Dalam Dewan Lelaki dan Wanita di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini. FOTO Bernama
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Skuad Hoki negara melaungkan keyakinan mampu untuk mencapai sasaran ke suku akhir di Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar-Rourkela, India, tahun depan seperti yang ditetapkan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) meskipun kini terus dipalit masalah kecederaan.

Ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan, Arul Selvaraj berkata, ketika ini, beliau enggan memikirkan soal kecederaan yang dialaminya barisan pemainnya.

Sebaliknya, beliau menegaskan, tumpuannya ketika ini adalah untuk membina sebuah pasukan yang mantap bagi menghadapi kejohanan itu.

"Buat masa sekarang saya hanya fikir mengenai pemilihan pemain, bukan isu kecederaan. Saya akan letakkan masalah kecederaan ke tepi bagi memberi tumpuan terhadap senarai pemain yang akan dipilih.

"Saya fikir kita ada peluang yang cerah untuk melayakkan diri ke pusingan kedua, iaitu dengan berada pada kedudukan ketiga teratas. Oleh itu, kita perlu bermula langkah kanan bertemu Belanda nanti," katanya ketika ditemui di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.

Pada kejohanan Piala Dunia itu nanti, Malaysia dijangka berdepan tugas sukar apabila diundi dalam Kumpulan C bersama New Zealand, Chile serta juara tiga kali yang juga pasukan nombor tiga dunia, Belanda.

Dalam pada itu, Arul turut memberi jaminan akan menyenaraikan 20 pemain yang memiliki tahap fizikal terbaik beberapa hari sebelum tarikh tutup pendaftaran yang sudah ditetapkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) pada 30 Disember ini.

"FIH menetapkan 30 Disember ini sebagai tarikh tutup pendaftaran, jadi mungkin ambil masa sehari atau dua untuk kita umumkan senarai pemain. Seperti yang saya cakap sebelum ini, 20 pemain terbaik dari segi fizikal akan dibawa," ujarnya.

Untuk rekod, penyerang negara, Azrai Aizad menjadi pemain terbaharu mengalami kecederaan ketika menjalani latihan selepas masalah sama turut dialami Nik Aiman Nik Rozemi dan Shello Silverius.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2022 @ 4:45 PM