Oleh SaifulAffendy Sapran


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad Projek 2016, Arul Selvaraj kini boleh menarik nafas lega selepas berjaya mendapatkan kembali tiga pemainnya yang bersama skuad senior sebelum ini menjelang persiapan menghadapi dua kejohanan utama musim ini.

Jelas Arul, tiga pemain itu, Shahril Saabah, Meor Azuan Hassan serta Muhd Haziq Samsul sudah menyatakan komitmen untuk kembali bersama rakan sepasukan dalam skuad remaja bagi menghadapi saingan Piala Sultan Johor pada Oktober serta Piala Remaja Asia sekitar November yang cukup penting kerana ia menawarkan tiket ke Piala Dunia Remaja 2016.

Shahril, Meor serta Haziq sebelum ini terpilih bersama skuad senior menghadapi kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Antwerp, Belgium.

“Sudah tentu saya gembira dengan kehadiran ketiga-tiga pemain ini. Mereka beraksi dengan baik ketika saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia dan untuk saya, Haziq adalah paling menonjol.

“Harap pengalaman berharga yang mereka timba bersama skuad senior dapat digunakan apabila bersama skuad remaja.

“Pengalaman ketiga-tiga mereka sememangnya amat diperlukan dalam misi penting kami untuk layak ke Piala Dunia Remaja pada tahun depan,” katanya.

Jelas Arul, beliau tidak mempunyai banyak masa untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi kedua-dua kejohanan itu kerana saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) akan beragsung bulan depan sehingga hujung September.

“Ketika saingan liga, saya sudah memohon agar pemain saya diberi pelepasan untuk menjalani latihan bersama skuad kebangsaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2015 @ 5:00 AM