ARUL (kiri) dan Mirnawan menunjukkan senarai nama skuad hoki lelaki ketika sidang media, hari ini. FOTO Bernama
ARUL (kiri) dan Mirnawan menunjukkan senarai nama skuad hoki lelaki ketika sidang media, hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kapten Muhammad Marhan Mohd Jalil kembali mengetuai pasukan hoki kebangsaan bagi menghadapi cabaran Piala Dunia 2023, bermula 13 hingga 29 Januari di Bhubaneswar dan Rourkela, India.

Pemain pertahanan berusia 32 tahun yang patah jari kaki kanan ketika perlawanan persahabatan menentang Perancis pada Jelajah Belgium, Oktober lalu, antara 18 pemain disenaraikan dalam skuad Malaysian Tigers bagi saingan kali ini.

Pengurus pasukan, Datuk Mirnawan Nawawi turut mengesahkan bahawa Muhammad Shahril Saabah juga pulih dari kecederaan otot betis untuk memperkuatkan jentera serangan Malaysia yang menduduki ranking ke-11 dunia, dalam memburu sasaran mara ke pusingan kalah mati di Piala Dunia.

Kehadiran Muhammad Marhan, yang mempunyai 278 penampilan dan Muhammad Shahril (148 penampilan) selepas terlepas Piala Sultan Azlan Shah pada awal bulan lalu dan Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara di Afrika Selatan baru-baru ini pastinya menghadirkan tonik tambahan buat pasukan itu.

"Kita juga meletakkan dua pemain muda, Tengku Nasrul Ikmal Hakimie Tengku Abd Rahim, 21, dan Shahmie Irfan Suhaimi, 20, dalam senarai simpanan yang akan sentiasa bersiap sedia sekiranya mana-mana pemain daripada senarai 18 itu tidak dapat beraksi.

"Kita sudah membuat persiapan rapi di dalam dan luar negara sejak awal tahun ini lagi. Harap semua pemain dipilih dapat mempamerkan aksi terbaik untuk membantu pasukan meraih tiga teratas pada saingan peringkat kumpulan untuk mara ke pusingan kalah mati," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, ketua jurulatih A. Arul Selvaraj meletakkan harapan tinggi ke atas penyerang muda, Shello Silverius untuk menampilkan aksi terbaik walaupun pemain itu belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan patah tangan kiri ketika Kejohanan Piala Negara-Negara.

Arul Selvaraj berkata Shello, yang muncul pemain terbaik Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh ketika membantu skuad negara meraih gelaran sulung kejohanan jemputan itu mendapat kelulusan daripada pasukan perubatan dan mampu memegang kayu hoki pada minggu depan.

"Kita ada 17 hari lagi sebelum aksi pertama, jadi saya tidak risau jika beliau masih tidak dapat memegang kayu hoki untuk beberapa hari ini. Dia seorang pemain yang cergas dan bijak, saya yakin dengannya," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa aksi positif menentang pasukan ketiga dunia, Belanda pada perlawanan pertama penting bagi mengekalkan momentum pada baki dua aksi peringkat kumpulan.

Skuad negara akan berlepas pada 6 Januari depan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di Bhubaneswar dan Rourkela, yang terletak di negeri pantai timur India, Odisha, menjelang aksi pemanas badan menentang Sepanyol pada 11 Januari.

Malaysia akan membuka kempen Kumpulan C dengan aksi mendebarkan menentang juara tiga kali, Belanda pada 14 Januari, diikuti aksi lawan Chile (ke-22 dunia) pada 16 Januari, kedua-duanya di Stadium Hoki Antarabangsa Birsa Munda, sebelum menamatkan saingan kumpulan berdepan New Zealand (kesembilan dunia) pada 19 Januari di Stadium Hoki Kalinga, Bhubaneswar.

Mengikut format kejohanan, juara kumpulan akan terus mara ke suku akhir, manakala pasukan di tempat kedua dan ketiga akan beraksi menentang pasukan Kumpulan D (England, India, Sepanyol, Wales) pada pusingan kalah mati untuk slot ke suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2022 @ 9:28 PM