PEMAIN NHDP Central (baju biru) beraksi cemerlang apabila menewaskan Singapura 13-0. FOTO ihsan NHDP.
PEMAIN NHDP Central (baju biru) beraksi cemerlang apabila menewaskan Singapura 13-0. FOTO ihsan NHDP.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pasukan NHDP Central (NHDP C) Wanita menutup tirai Piala Mirnawan dengan kemenangan besar selepas membelasah Singapura 13-0, seterusnya menamatkan saingan di kedudukan keenam.

Biarpun ia bukanlah satu kedudukan diinginkan, namun jurulatih pasukan itu A Kannagi melihat penganjuran kejohanan itu memberi ruang dan peluang lebih besar kepada ramai pemain khususnya wanita untuk mencuba nasib menjadi pemain kebangsaan satu hari nanti.

Kannagi yang juga bekas pemain kebangsaan melihat penganjuran kejohanan yang turut membabitkan penyertaan pasukan dari luar negara sebagai satu platform terbaik buat pemain yang sebelum ini terlepas pemilihan untuk menyertai pasukan negeri memperagakan keupayaan mereka.

"Ia satu kejohanan di peringkat akar umbi yang sangat efektif untuk tahun akan datang.

"Ia dapat memberi peluang lebih besar untuk menilai prestasi dengan skop lebih besar terutama di peringkat akar umbi.

"Sebagai sebagai bekas pemain yang tidak pernah bermain dalam program seperti ini, program NHDP ini akan memberi peluang sama rata kepada semua, malah saya lihat dalam pasukan saya ada beberapa pemain berbakat untuk diketengahkan," katanya.

Piala Mirnawan adalah kejohanan antarabangsa Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) yang turut membabitkan penyertaan pasukan India (Sports Odisha), Jepun dan Singapura untuk saingan lelaki bawah 17 tahun manakala pasukan India (Sports Odisha) serta Singapura bagi saingan perempuan bawah 14 tahun.

Pada saingan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu, sebanyak lapan pasukan bersaing untuk lelaki bawah 17 tahun manakala tujuh pasukan bagi saingan perempuan bawah 14 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 8:09 PM