PEMAIN NHDP Utara bergambar selepas latihan.
PEMAIN NHDP Utara bergambar selepas latihan.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Skuad Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) Utara Wanita bersedia memburu tiga mata apabila turun beraksi menentang NHDP Timur Wanita bagi saingan Piala Mirnawan, esok.

Menurut jurulatih NHDP Utara, AN Leo Vincey, anak buahnya sudah bersedia untuk melalui aksi sulung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil walaupun persiapan mereka sedikit terganggu dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

"Saya rasa semua pasukan sudah mempersiapkan pemain masing-masing walaupun sedikit terganggu dengan PRU-15.

"Bagaimanapun, kami sebelum ini masih berlatih seperti biasa kerana turun sebagai sebuah pasukan gabungan mengikut zon.

"Ia bukan seperti pasukan negeri, ini kali pertama kami bergabung mengikut zon dan semua pasukan menghadapi situasi sama dan saya rasa kejohanan ini bakal berlangsung dengan menarik," katanya ketika dihubungi Arena Metro, hari ini.

Ujar Leo, gabungan pemain terbaik dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang itu diharap mampu untuk memulakan langkah kanan dengan merangkul tiga mata pertama.

Menurutnya, mereka belum pasti bagaimana persembahan akan ditampilkan pemain esok dan berharap NHDP Utara ada kelebihan.

NHDP Utara diletakkan dalam Kumpulan B bersama NHDP Timur dan pasukan kebangsaan Singapura, dengan dua pasukan terbaik bakal melayakkan diri ke separuh akhir.

"Kehadiran pasukan Singapura dan Sports Odisha dari India sangat bagus untuk pendedahan pemain. Jika ikut tradisi India memang pasukan kuat dalam sukan hoki.

"Singapura hadir sebagai pasukan kebangsaan tatkala kita berpecah mengikut zon. Semua ini satu pengalaman yang berguna buat pemain muda," katanya.

Turut berlangsung esok ialah perlawanan membabitkan NHDP Selatan menentang Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Girls.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2022 @ 6:08 PM