AKSI antara NHDP Tengah dan Sport Odisha hari ini. FOTOHAZREEN MOHAMAD
AKSI antara NHDP Tengah dan Sport Odisha hari ini. FOTOHAZREEN MOHAMAD
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kegagalan mengawal perasaan gugup berdepan pasukan antarabangsa dari India, Sport Odisha menyaksikan pasukan NHDP (Program Pembangunan Hoki Negara) Tengah Wanita tumbang 5-0 dalam aksi pertama Kumpulan A Kategori Wanita B-14 Piala Mirnawan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Walaupun kekalahan itu besar, namun penolong jurulatih NHDP Tengah Wanita, Fatin Naimah Zaki mengambilnya secara positif apabila mengakui banyak perkara baharu yang berjaya diraih oleh anak buahnya dalam aksi itu.

Bekas pemain hoki wanita negara itu berkata, beliau mahu pemain bangkit semula dalam baki dua lagi aksi kumpulan apabila dijadual berdepan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) pada Isnin ini, sebelum menutup kempen menentang NHDP Selatan dua hari kemudian.

"Pemain sebenarnya agak gugup, ialah ini adalah perlawanan pertama mereka menentang pasukan luar negara yang nampak lebih bersedia dan kuat.

"Tapi sebenarnya saya bangga dengan pemain kerana mereka sudah beri yang terbaik. Perkara paling penting, adalah pemain dapat belajar sesuatu apabila jumpa pasukan luar negara.

"Kita dapat belajar macam-macam cara mereka bermain dan teknik individu yang baik. Kejohanan ini cukup bagus bagi mendedahkan pemain wanita tempatan kita dengan tahap permainan yang tinggi," katanya ketika ditemui sejurus tamat aksi itu.

Dalam aksi itu, gol-gol pasukan wanita Sport Odisha diraih menerusi jaringan padang oleh Janhabi Bada di minit 23 disusuli Nirmala Senbar (m-32 dan m-59), Liona Lakra (m-34) dan penalti stroke dari Payal Sonkar di minit 49.

Sementara itu, NHDP Selatan yang berjumpa SSTMI terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata apabila kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Pada aksi itu, NHDP Selatan mendahului 1-0 hasil jaringan padang Nur Hannah Amani di minit ketujuh, sebelum lawan bangkit menyamakan kedudukan di minit 51 hasil sentuhan Siti Sarah juga menerusi gerakan gol padang.

Begitupun NHDP Selatan yang dibimbing Mohd Hilmi Hafidz hanya memerlukan seminit untuk kembali di depan hasil jaringan penalti corner Ainul Azeerah.

Kelebihan itu juga tidak bertahan apabila SSTMI pula dihadiahkan penalti corner seminit kemudian dan ia dimanfaatkan sebaiknya oleh Ainun Syafiah untuk mengikat pertemuan itu.

Dalam aksi Kumpulan B pula, NHDP Timur membuka kempen dengan langkah kanan selepas mudah menundukkan NHDP Utara 4-1.

Aksi bagi kategori lelaki B-17 Piala Mirnawan hanya akan bermula esok dengan membabitkan pertemuan antara SSTMI menentang pasukan Odisha pada jam 6 petang, diikuti Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) bertemu Jepun, Sekolah Sukan Malaysia Sabah (SSM Sabah) berdepan Majlis Sekolah Sukan Perak (MSS Perak) dan NHDP Tigers menentang Singapura, dengan semuanya berlangsung di Bukit Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2022 @ 5:15 PM