HABIB yakin Kedah mampu mempertingkatkan permainan menentang Penang FC. -FOTO KDA FC
HABIB yakin Kedah mampu mempertingkatkan permainan menentang Penang FC. -FOTO KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar : Tonggak tengah Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Habib Haroon yakin Sang Kenari akan turun dengan semangat lebih tinggi apabila berdepan Penang FC pada saingan suku akhir Piala FA di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Jumaat ini.

Pemain kuota Asia dari Bahrain ini berkata, ini kerana aksi menentang Penang FC di tempat lawan dijangka menjadi satu perlawanan sengit buat sebagai bekalan menghadapi saingan kedua Piala FA musim ini.

"Saya yakin semua pemain semakin bersedia berdepan Penang FC yang saya anggap menjadi medan persaingan yang cukup sengit.

"Oleh itu saya dan rakan seperjuangan mahu memastikan kami dapat kekal fokus mengikut setiap perancangan yang diaturkan oleh Ketua Jurulatih Nafuzi Zain bagi memastikan kami dapat membawa pulang keputusan yang positif pada aksi suku akhir pertama ini.

"Apa yang penting buat saya dan semua pemain adalah untuk terus meningkatkan tahap keyakinan diri dan mutu permainan," katanya.

Habib turut mengingatkan dirinya sendiri agar tidak merasa terlalu selesa selepas mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Penang FC pada saingan Liga Super yang lalu, sebaliknya terus menumpukan usaha seperti yang dirancang pasukan terutama melibatkan posisinya di ruang tengah.

"Walaupun rekod kemenangan menyebelahi kami pada aksi sebelum ini, namun ianya sudah berlalu dan sebaiknya kami mahu ke sana dengan impian tanpa bolos dan mencari bekalan gol untuk dibawa pulang ke Kedah untuk aksi kedua pada 5 Julai depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2024 @ 2:31 PM