KALAMULLAH mahu pastikan pintu gol Kedah tidak dibolosi pada aksi menentang Sabah. FOTO Ihsan KDA FC
KALAMULLAH mahu pastikan pintu gol Kedah tidak dibolosi pada aksi menentang Sabah. FOTO Ihsan KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Penjaga gol utama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Kalamullah Al-Hafiz bertekad memastikan gawang pasukannya tidak dibolosi pada aksi penting dan terakhir pada saingan Liga Super menentang Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu Ahad ini.

Menurut Kalamullah, aksi penentuan tempat ketiga dan keempat ini adalah ujian yang cukup getir buat Kedah bagi mempertahankan kedudukan tangga ketiga liga selepas dikecewakan Selangor FC 0-1 semasa perebutan tangga kedua awal bulan ini.

"Saya mahu memastikan gawang kami tidak dibocori pada aksi kali ini bagi mengelak keciciran mata dan memastikan misi kami mengekalkan kedudukan tangga ketiga musim ini dapat dipertahankan.

"Kami mahu bangkit semula untuk merebut peluang untuk tempat ketiga yang mana kami tidak boleh bolos bagi memastikan kami mendapat kemenangan atau sekurang-kurangnya seri untuk layak pada kedudukan tiga terbaik Liga Super musim ini.

"Sekiranya dipilih beraksi pada perlawanan terakhir musim ini, pastinya saya mahu melengkapkan penampilan dengan aksi yang saya sasarkan bagi membuktikan kemampuan saya bersama Sang Kenari ," katanya.

Kalamullah juga sedar skuadnya perlu menggandakan usaha di mana ini sedang dilakukan melalui latihan bagi memastikan tahap mental serta fizikal semua pemain cukup bersedia untuk berhadapan Sabah di hadapan penyokongnya di tempat lawan.

"Memang satu aksi yang dijangka cukup sengit dan mencabar buat kami kerana kita tahu aksi ini di tempat lawan dan skuad Sabah ini hanya tewas sekali sahaja pada aksi Liga Super di laman mereka sendiri setakat ini.

"Kita boleh jangkakan keadaan di Sabah nanti pasti cukup mencabar kerana ia sama seperti mana cabaran yang kita tempuhi ketika menentang Selangor tempo hari untuk perebutan kedudukan tempat kedua.

"Saya perlu betul-betul fokus, perbaiki setiap kelemahan dan memastikan persefahaman yang terbaik bersama barisan pemain pertahanan untuk memastikan misi pasukan di hujung musim tercapai sekali gus meningkatkan lagi prestasi saya bersama pasukan," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2023 @ 4:23 PM