NAFUZI mahu pemain pertahankan maruah pasukan apabila berdepan Kuching City pada aksi Piala Cabaran di laman sendiri. FOTO Ihsan KDA FC
NAFUZI mahu pemain pertahankan maruah pasukan apabila berdepan Kuching City pada aksi Piala Cabaran di laman sendiri. FOTO Ihsan KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar : Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mahu membuktikan kemampuan sebenarnya apabila turun pada aksi suku akhir kedua Piala Cabaran menentang Kuching City FC di Stadium Darul Aman malam esok.

Meskipun saingan menuju tempat kedua liga super menjadi sasaran yang penting buat Sang Kenari, namun impian mendapatkan piala tetap menjadi sandaran skuad bimbingan Nafuzi Zain menuju baki saingan Liga Malaysia musim ini.

Pengendalinya berkata, Kedah juga tidak mahu membezakan mana-mana aksi sama ada saingan Liga Super atau Piala Cabaran kerana objektif utama Sang Kenari adalah memburu kemenangan pada setiap perlawanan.

"Ini perlawanan kalah mati dan kita perlu menang untuk layak seterusnya ke saingan separuh akhir selepas tewas 0-1 pada saingan suku akhir pertama di Kuching pada 19 September lalu dan mahu memastikan reputasi serta maruah pasukan dipertahankan terutama apabila beraksi di laman sendiri kali ini.

"Kemenangan 1-0 pada aksi Liga Super ke atas Kuala Lumpur City FC (KL City) sebelum ini juga satu motivasi yang cukup penting yang kami bawa dalam meneruskan saingan kedua dalam Piala Cabaran ini dan saya harap pemain dapat mengambil kesempatan sebaik mungkin untuk aksi di laman sendiri.

"Pesanan saya agar pemain dapat beri segalanya pada aksi kalah mati ini dan saya juga harap penyokong dapat hadir memberi sokongan bagi menambahkan lagi semangat perjuangan pasukan agar dapat merasai kelebihan beraksi di laman sendiri," katanya sebalik tamat mengendalikan latihan di Stadium Sultan Abdul Halim semalam.

Nafuzi juga mahu setiap pemain agar berwaspada dengan 'jerat' yang akan dipasang pihak lawan kendalian Aidil Sharin Sahak yang juga bekas pengendali Kedah pada 2019 hingga 2022.

"Kami sedar dengan ketinggalan satu gol dan perlu mencari gol ke atas Kuching City selepas ini, saya berharap pemain dapat teruskan semangat dan momentum persembahan bagi mengelak dari sebarang tekanan, tidak terburu-buru dan turun dengan perancangan teliti yang ditetapkan.

"Bagi saya, penyerang utama mereka iaitu Abu Kamara yang sudah tiga kali kami berdepan adalah penyerang yang bahaya dan memiliki kemampuan menjaringkan gol termasuk melalui teknik tandukan yang bagus.

"Selain fizikal tubuh yang bagus, dia adalah antara penjaring berkualiti dan mampu melakukan jaringan jika kita tidak mengawal rapi pergerakannya. Oleh itu kita perlu berwaspada di ruang pertahanan bagi mengelak kita dibolosi lagi," katanya.

Tiga perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan pada musim ini menyaksikan Kedah menang dua perlawanan dalam Liga Super dengan keputusan 3-0 dan 1-0, manakala Kuching City menang sekali (1-0) pada aksi suku akhir pertama saingan Piala Cabaran pada bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 1:34 PM