KEHADIRAN De Murga akan menambahkan lagi kekuatan TFC. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
KEHADIRAN De Murga akan menambahkan lagi kekuatan TFC. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Benteng Terengganu FC (TFC) bakal 'kebal' selepas kembali diperkuatkan kapten, Carli De Murga apabila pasukannya bertembung dengan Petaling Jaya City FC (PJ City FC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam esok.

Pemain kacukan Filipina-Sepanyol berusia 33 tahun itu yang menyertai TFC awal musim ini hanya sempat beraksi 25 minit ketika pasukannya tumpas kepada Melaka United FC (MUFC) minggu lalu sebelum terlepas aksi bertemu Sabah FC pada Ahad.

Pengendali TFC Nafuzi Zain berkata, kehadiran semula De Murga daripada kecederaan begitu diharapkan bagi memperkukuhkan lagi benteng pertahanan dalam misi memburu tiga mata.

Malah katanya, lebih menceriakan kem skuad Penyu apabila beliau boleh menurunkan kembali lima tonggak import berbanding empat ketika bertemu Sabah FC kerana kuota pemain bebas melebihi tiga pemain.

"Ketika menentang Sabah FC, pemain kebangsaan Mali, Makan Konate terpaksa dikorbankan kerana kami membawa masuk pertahanan skuad Terengganu FC II (TFC II), Argzim Redzovic bagi menggantikan tempat De Murga yang tidak dapat diturunkan akibat kecederaan.

"Kepulangan semula pertahanan naturalisasi dari Filipina itu tepat pada masanya sekali gus membolehkan kami menurunkan lima pemain import, ini bermakna TFC akan kembali dengan kesebelasan terbaik berdepan dengan PJ City dalam misi untuk mendapatkan mata penuh," katanya.

Ketika ditanya mengenai pemain pinjaman daripada Sri Pahang, Lee Tuck, beliau akui bekas kapten pasukan TFC musim lalu itu masih belum cergas sepenuhnya daripada kecederaan dan kini dalam proses pemulihan.

"Saya jangkakan aksi bertemu PJ City FC belum sesuai lagi buat Tuck yang masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan yang dialaminya sebelum liga disambung semula pada Julai lalu," katanya.

TFC yang kini menghuni di tangga kedua liga tewas 0-2 dalam dua aksi terakhir bertemu MUFC dan terikat 0-0 dengan Sabah FC Ahad lalu, mereka perlu bangkit untuk memburu tiga mata penuh bagi menyaingi Johor Darul Ta'zim (JDT) yang mendahului carta liga dengan berkelebihan lapan mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 3:41 PM