Pertahanan TFC, Muhammad Azam Azmi Murad (kiri) berazam mahu pikat pengendali skuad Bawah 23 Tahun negara. FOTO Ihsan FAM
Pertahanan TFC, Muhammad Azam Azmi Murad (kiri) berazam mahu pikat pengendali skuad Bawah 23 Tahun negara. FOTO Ihsan FAM
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pertahanan muda Terengganu FC (TFC), Muhammad Azam Azmi Murad mahu membalas kepercayaan ketua jurulatih skuad Bawah 23 tahun negara (B-23), Brad Maloney sekiranya disenaraikan dalam pasukan negara.

Pertahanan meningkat naik berusia 20 tahun itu kini menjalani kem latihan Fasa 2 bermula 4 Oktober lalu sebagai persiapan pasukan negara menjelang saingan Kumpulan J Kelayakan Piala Asia B-23 hujung bulan ini.

Selain Azam, seorang lagi pemain TFC, Nik Akif Syahiran Nik Mat serta tiga pemain skuad 'adik', Terengganu FC II (TFC II) iaitu penjaga gol, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin, Syafik Ismail dan Hairiey Hakim Mamat juga turut terpilih menjalani latihan bersama skuad kebangsaan.

"Ini panggilan kali ketiga mewakili skuad kebangsaan bermula Bawah-19 (B-19), jadi sudah tentu saya tidak mahu melepaskan peluang terbaik ini untuk terus menyarung jersi skuad negara.

"Bagaimanapun saya akui bukan mudah untuk merebut slot berkenaan kerana pesaing sudah pasti mengidam perkara yang sama untuk menggalas tugas negara pada aksi kelayakan itu nanti.

"Jadi saya tiada pilihan melainkan perlu bekerja lebih keras lagi untuk merebut posisi itu biarpun sebelum ini pernah beraksi bersama skuad B-19 negara," katanya.

Azam yang pernah meledak tiga gol pada pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 di Kemboja pada 2019 adalah antara pemain tonggak skuad Penyu apabila kerap diturunkan dalam kesebelasan utama.

"Pengalaman yang dikutip ketika beraksi dalam saingan Liga Super sejak tahun lalu ditambah pula kerap kali diturunkan dalam kesebelasan utama musim ini bakal menambah lagi keyakinan saya untuk membantu pasukan negara sekiranya dipilih," kata bekas murid Sekolah Kebangsaan Tok Jembal, Kuala Nerus itu.

Skuad akhir 23 pemain bakal terbang ke Ulaanbaatar, Mongolia pada 20 Oktober ini sebelum turun menentang Laos pada 25 Oktober diikuti tuan rumah, Mongolia tiga hari kemudian dan aksi terakhir bertemu Thailand pada 31 Oktober ini bagi merebut tempat ke pusingan akhir Piala Asia B-23 di Uzbekistan pada Jun 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 5:24 PM