Pemain Terengganu FC giat menjalani latihan menjelang saingan Piala FA malam esok. FOTO Ghazali Kori
Pemain Terengganu FC giat menjalani latihan menjelang saingan Piala FA malam esok. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas beraksi cemerlang bersama skuad kebangsaan, pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner menuntut empat pemainnya lebih menyerlah dalam saingan Piala FA Pusingan 16, malam esok.

Terdahulu pemain TFC iaitu Akhyar Rashid, Safawi Rasid, Muhammad Safwan Mazlan dan Engku Muhammad Nur Syakir Engku Yacob berjaya membantu skuad Harimau Malaya menumpaskan Taiwan 3-1 selain terikat 1-1 berdepan Kyrgyzstan pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Beliau berkata, empat tonggaknya itu antara pemain yang berada dalam perancangannya berdepan Perak FC pada aksi yang bakal berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

"Aksi cemerlang empat pemain itu ketika membantu pasukan Malaysia adalah petanda yang begitu positif buat skuad kami sebelum berdepan Perak FC.

"Saya percaya mereka juga begitu bersemangat selain masih segar lagi lebih-lebih lagi ianya penampilan kali pertama dalam kesebelasan utama buat Safwan selain Engku Syakir sebagai pemain gantian.

"Malah keupayaan Safawi yang berjaya menjaringkan gol selain aksi bertenaga Akhyar sudah pasti bakal meningkat lagi corak permainan pasukan.

"Selain empat pemain itu, kami turut mengharapkan pemain yang bakal diturunkan nanti mampu memperagakan aksi terbaik mereka bagi memastikan kami berjaya melangkah ke suku akhir," kata jurulatih yang lebih mesra dipanggil 'Tommy' itu ketika dihubungi.

Dalam pada itu jurulatih kelahiran Croatia itu menarik nafas lega apabila dua pemain tonggaknya iaitu penjaga gol, Suhaimi Husin dan pemain pinjaman Johor Darul Ta'zim (JDT), Azam Azmi Murad sudah kembali bersama pasukan.

"Dua pemain itu (Suhaimi, Azam) yang sudah pulih daripada kecederaan yang dialaminya berada dalam skuad dan berkemungkinan bakal diturunkan buat kali pertama pada musim ini selepas terlepas tiga aksi awal Liga Super.

"Bagaimanapun pemain pertahanan, Mathew Steenvoorden dan penyerang, Ivan Mamut masih lagi belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan kini dalam proses pemulihan," katanya.

Pada aksi pertama Liga Super 11 Mei lalu, TFC berjaya melakar kemenangan 3-1 menumpaskan skuad The Bos Gaurus itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 3:05 PM