AKSI Ronaldo ketika sesi latihan Portugal semalam. FOTO Twitter
AKSI Ronaldo ketika sesi latihan Portugal semalam. FOTO Twitter
AFP

Lisbon: Bintang Portugal Cristiano Ronaldo berkata dia belum puas dan mahu pergi lebih jauh selepas muncul pemain pertama meledak 850 gol bersama kelab Arab Saudi Al-Nassr.

"Saya mahu lebih lagi," kata penyerang itu ketika sidang media sebelum sesi latihan dengan skuad kebangsaan di Oeiras, Lisbon menjelang saingan kelayakan Kejohanan Eropah.

"Selagi saya masih bermain, saya mahu tetapkan tahap lebih tinggi dan saya perlu fikir jauh ke depan," tambah pemain berusia 38 tahun itu.

Ronaldo meraih kap antarabangsa ke-200 pada Jun lalu selepas menjaringkan gol tunggal kemenangan Portugal ke atas Iceland dalam aksi kelayakan Euro 2024 yang membolehkan Selecao kekal selaku pendahulu Kumpulan J.

Juara Eropah 2016 itu akan menentang Slovakia di Bratislava pada awal pagi Sabtu ini dan Luxembourg tiga hari kemudian di Stadium Algarve, selatan Portugal.

"Saya benar-benar mahukan kemenangan dalam dua perlawanan ini. Jika kami menang, kami secara praktikalnya sudah layak," kata pemenang lima kali Ballon d'Or itu.

Ketika ditanya mengenai persaingannya dengan sensasi Argentina Lionel Messi, Ronaldo membalas mereka berdua saling menghormati dan percaya kedua-duanya sudah mengubah sejarah bola sepak.

Tahun ini menyaksikan Ronaldo beraksi dua dekad bersama skuad kebangsaan dan dia berasa bangga dengan pencapaian itu.

"Saya mahu teruskan kerana saya masih berasa bagus tetapi apa sahaja boleh berlaku," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 7:25 AM