FERNANDES meraikan kejayaan bersama rakan pasukan selepas meledak gol buat Portugal. -FOTO AFP
FERNANDES meraikan kejayaan bersama rakan pasukan selepas meledak gol buat Portugal. -FOTO AFP
Reuters

Lisbon: Pemain tengah Manchester United, Bruno Fernandes yang dimasukkan dari bangku simpanan menjaringkan dua gol dan membantu Portugal memulakan persiapan Euro 2024 mereka dengan kemenangan 4-2 ke atas Finland di Lisbon.

Portugal turun tanpa kapten Cristiano Ronaldo yang kini sedang berehat sebelum melaporkan diri pada hari Jumaat menjelang Kejohanan Eropah keenamnya, menyebabkan pengurus Roberto Matinez menurunkan skuad berbeza yang mendominasi perlawanan sejak mula.

Pemain pertahanan Ruben Dias meletakkan tuan rumah di hadapan menerusi tandukan dari sepakan sudut pada minit ke-17 dan Diogo Jota melebarkan kedudukan hasil sepakan penalti selepas Francisco Conceicao dikasari di dalam kawasan pada masa kecederaan sebelum rehat.

Fernandes adalah salah satu daripada lima pertukaran yang dilakukan pada separuh masa, menjaringkan gol ketiga Portugal hasil rembatan lencong ke sudut atas dari tepi kotak pada minit ke-55.

Pemain gantian Finland, Teemu Pukki mengambil kesempatan daripada pertahanan Portugal yang leka untuk menjaringkan dua gol dalam tempoh lima minit untuk membawa pasukannya kembali ke dalam permainan.

Bagaimanapun, Fernandes mengambil alih kawalan dan memastikan kemenangan milik Portugal menerusi rembatan jarak dekat pada minit ke-84.

Portugal akan menentang Croatia pada hari Sabtu dan Ireland minggu depan yang akan menjadi perlawanan pemanas badan terakhir mereka sebelum memulakan kempen Euro mereka pada 18 Jun menentang Republik Czech dalam Kumpulan F.

Mereka juga akan menentang Turkiye dan Georgia dalam peringkat kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2024 @ 9:04 AM