RONALDO ledak dua gol bantu Portugal tewaskan Slovakia 3-2. -FOTO AFP
RONALDO ledak dua gol bantu Portugal tewaskan Slovakia 3-2. -FOTO AFP
Agensi

London: Cristiano Ronaldo mengakui dia berfikir "lebih memikirkan untuk jangka pendek" tetapi enggan meletakkan sebarang tempoh masa persaraannya daripada bola sepak.

Ronaldo sebelum ini menyatakan dia mahu kariernya di peringkat tertinggi bertahan sehingga sekurang-kurangnya 2024 yang akan merangkumi perlawanan akhir Euro 2024.

Bagaimana laporan mencadangkan dia terus bermain sehingga 2027. Dia akan menyambut hari lahirnya yang ke-39 pada Februari, manakala dia akan berusia 41 tahun menjelang Piala Dunia akan datang – dalam masa tiga tahun.

Bintang Portugal itu menjadi penjaring gol tertinggi dalam bola sepak antarabangsa pada 2021 manakala dia kini sudahpun menjaringkan 125 gol untuk Portugal dalam 202 penampilan.

Dia mengetuai negaranya pada pusingan akhir Piala Dunia tahun lalu di Qatar dan mahu beraksi sekurang-kurangnya satu lagi kejohanan utama, selepas memenangi Kejohanan Eropah pada 2016.

Ronaldo yang beraksi bersama Portugal itu tewas 1-0 kepada Maghribi pada suku akhir mereka di Qatar Disember lalu dan bintang itu terus keluar melalui terowong sambil menangis selepas terlepas peluang terakhir menambah satu lagi gelaran utama yang belum pernah diraihnya.

Ronaldo kini menegaskan bahawa tidak lagi memikirkan mengenai masa depannya dan tidak wajar untuk meletakkan sebarang tarikh untuk menggantung but.

"Banyak perkara yang berlaku dalam hidup saya, baik di peringkat peribadi dan profesional yang membuatkan saya lebih berfikir dalam jangka pendek pada masa kini," kata Ronaldo kepada pemberita selepas menjaringkan dua gol ketika Portugal menang 3-2 ke atas Slovakia.

"Orang ramai berkata saya akan bermain sehingga saya berumur 40 atau 41 tahun. Saya tidak menetapkan sasaran ini. Ini hanya satu persoalan. Saya mahu menikmati masa, dan ia lebih baik.

"Tubuh saya bertindak balas terhadap cara saya merawatnya selama bertahun-tahun. Saya gembira di kelab saya dan di Selecao.

"Saya menjaringkan banyak gol, saya berasa dalam keadaan baik dari segi fizikal. Ia adalah persoalan untuk menikmati masa ini."

Ronaldo sebelum ini menolak teori bahawa memenangi Piala Dunia akan menamatkan perdebatan siapakah pemain bola sepak terhebat antara dia dan Lionel Messi.

"Walaupun saya memenangi Piala Dunia saya akan tetap terus bermain. Ada orang suka saya, ada yang tidak. Ia seperti dalam kehidupan, ada yang suka berambut perang, ada yang suka berambut coklat.

"Saya sentiasa perlu menunjukkan apa yang boleh saya lakukan tahun demi tahun. Saya ingin memenangi kejohanan ini. Saya bercita-cita tinggi tetapi jika anda memberitahu saya, saya tidak akan memenangi sebarang kejohanan lagi, saya tetap gembira dengan apa yang sudah saya menangi.

"Dalam buku sejarah semua rekod akan ada. Tetapi jelas sekali Piala Dunia tiada di rak dan ia tidak akan menjadi teruk. Ia akan menjadi mimpi."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2023 @ 7:08 PM