PEMAIN Selangor gembira selepas berjaya menumpaskan Kuching City 5-1. FOTO Ihsan Selangor FC
PEMAIN Selangor gembira selepas berjaya menumpaskan Kuching City 5-1. FOTO Ihsan Selangor FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selangor FC mencerahkan peluang untuk meraih slot ke suku akhir Piala Malaysia selepas berjaya membenam Kuching City FC 5-1 di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) dalam saingan Piala Malaysia yang berlangsung malam tadi.

Kemenangan itu adalah yang kedua dalam Kumpulan B selepas mengharungi tiga aksi dan keputusan itu menyaksikan pasukan terus menekan Terengganu FC yang kekal selaku pendahulu selepas turut meraih kemenangan selesa ke atas Perak FC dalam satu lagi aksi.

Dalam aksi di Kelana Jaya itu, tuan rumah tidak menunggu lama untuk mendahului apabila tonggak import dari Myanmar, Hein Htet Aung meledak seawal minit pertama permainan.

Gol itu nyata tidak melemahkan semangat pasukan pelawat yang dibimbing Irfan Bakti Abu Salim apabila mereka berjaya bangkit mengikat kedudukan 1-1 hasil jaringan bekas calon naturalisasi negara, Michael Ijezie sembilan minit kemudian.

Gol penyamaan itu hadir menerusi sepakan penalti dan Ijezie mudah melaksanakan tugasnya untuk menewaskan penjaga gol kebangsaan, Khairulazhan Khalid.

Memasuki babak kedua, skuad Red Giants melipat gandakan usaha dan bekas juara sebanyak 33 kali Piala Malaysia itu kembali memimpin perlawanan menerusi ledakan Ahmad Danial Asri pada minit ke-59.

Tonggak import Singapura, Safuwan Baharudin menambah gol ketiga tuan rumah di minit 65 buat melegakan pengendali Selangor, Karsten Neitzel yang terdesak memburu kemenangan buat pasukannya selepas tewas kepada Terengganu FC sebelum ini.

Danial mencetak gol peribadi keduanya buat meletakkan Selangor meraih gol keempat minit 79 sebelum Sean Selvaraj meledak gol kelima di masa kecederaan.

Keputusan itu kekal hingga wisel penamat buat membolehkan Selangor mengumpul enam mata daripada tiga aksi, sementara Kuching City dengan satu mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 11:15 PM