PEMAIN KCFC, Rames Lai Ban Huat berusaha melepasi kawalan pemain Kelantan FC di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, petang semalam, FOTO Ihsan Kuching City FC
PEMAIN KCFC, Rames Lai Ban Huat berusaha melepasi kawalan pemain Kelantan FC di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, petang semalam, FOTO Ihsan Kuching City FC
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Kuching City FC (KCFC), Irfan Bakti Abu Salim jelas lega selepas pasukan bimbingannya melakar kemenangan 3-1 ke atas Kelantan FC pada aksi tertunda Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), petang semalam.

Baginya apa yang dipamerkan oleh kesebelasan utama dalam perlawanan itu cukup membanggakan walaupun masih ada kelemahan yang dikesan tatkala musuh belum mencapai kemampuan sebenar dan perlu diperbaiki untuk mengharungi baki saingan liga.

Malah katanya, skuad bimbingannya tidak mengadakan sebarang perlawanan kompetitif sepanjang liga akibat terpaksa dikuarantin dan hanya mengadakan aksi persahabatan bersama pasukan Piala Presiden KCFC dan Sarawak United.

"Selama empat bulan kami tidak beraksi secara kompetitif selepas aksi ditunda dan ia perlawanan pertama kami dan saya lihat prestasi pemain kurang memberangsangkan tapi tetap gembira apabila pemain mampu mengadaptasi diri dengan situasi.

"Kami ada baki sembilan perlawanan lagi dan kami akan berkampung di Pasir Gudang untuk mengharungi baki perlawanan dan sasaran utama adalah untuk layak ke saingan Piala Malaysia dan berharap apa yang kami rancang membuahkan hasil," kata Irfan Bakti.

Beliau juga berterima kasih kepada pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang memberi kebenaran buat KCFC menggunakan Stadium MBPG sebagai gelanggang rasmi pasukan itu sehingga saingan liga tamat.

Sementara itu, penolong jurulatih Kelantan FC, Reezal Zambery Yahya jelas terpaksa akur dengan kekalahan kepada anak didik Irfan Bakti yang lebih agresif dalam perlawanan itu berbanding barisan pemainnya yang kurang bernafsu.

"Saya terima kekalahan ini dengan penuh bertanggungjawab dan saya bertekad untuk memastikan bahawa anak buah saya mampu bangkit pada perlawanan akan datang.

"Barisan tengah terutama kapten (Mario Blasco) seolah-olah hilang dalam radar permainan dan dia gagal memainkan peranan untuk menggerak gerakan berbahaya selepas dikunci oleh pemain tengah KCFC yang langsung tidak beri ruang.

"Kami ada baki tiga perlawanan dan sasaran adalah untuk berada di kelompok lima teratas dan saya akui perebutan ke saingan Liga Super musim depan sudah tertutup," kata Reezal Zambery

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 2:21 PM