AKSI Faisal Halim melepasi kawalan pemain NSFC Levy  Mandinda. FOTO Bernama
AKSI Faisal Halim melepasi kawalan pemain NSFC Levy Mandinda. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Tandukan emas pertahanan kental Sharul Nazeem Zulpakar pada masa kecederaan babak kedua berjaya memastikan Selangor FC meraih kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan FC dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini, malam tadi.

Kejayaan itu pastinya membuatkan tidur malam Sharul Nazeem atau lebih dikenali dengan Afro cukup lena dengan dia dijulang wira pasukan.

Tuan rumah tidak menunggu lama menguji kubu pelawat apabila penyerang import dari Colombia, Ayron del Valle melepaskan rembatan seawal minit kedua namun mudah ditepis Sikh Izhan Nazrel.

Ayron yang juga pemenang kasut emas Liga Colombia dua musim berturut-turut sekali lagi berpeluang mencetak nama selaku penjaring tetapi tandukannya sedikit tersasar selepas memanfaatkan sepakan sudut di minit 16.

Tiga minit kemudian, Brendan Gan hampir menggegar gawang namun ketua pasukan Selangor itu gagal menewaskan Sikh Izhan selepas menerima hantaran cantik Yohandry Orozco dari tengah padang.

Ketika perlawanan hampir tamat, kesilapan Richmond Ankrah menarik Casagrande dalam kotak penalti menyaksikan pengadil menghadiahkan sepakan penalti di hujung babak pertama.

Herold Goulon yang diamanahkan mengambil sepakan itu mudah menolak masuk untuk menewaskan Khairulazhan Khalid, sekaligus mendahului aksi 1-0.

Menyedari ketinggalan, pengendali Selangor Tan Cheng Hoe membawa masuk Mukhairi Ajmal dan mengeluarkan Hein Htet Aung bagi menambah sengat di jentera hadapan.

Hasilnya, tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan di minit 56 apabila hantaran lambung Quentin Cheng di celah pertahanan Negeri Sembilan tepat menemui Faisal Halim yang pantas menjolok masuk ke gawang lawan.

Selangor sepatutnya mendahului di minit ke-64 namun palang menjadi penghalang apabila percubaan Mukhairi terkena palang ketika Sikh Izhan sudah pun tertewas.

Serangan bertali arus tuan rumah akhirnya memberi kemenangan apabila tonggak pertahanan Sharul Nazeem muncul wira di masa kecederaan buat menghadiahkan gol kemenangan buat pasukannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 12:15 AM