AKSI pemain KL City, Paulo Josue mengawal bola ketika menentang Sabah FC  di Stadium Kuala Lumpur. FOTO Bernama
AKSI pemain KL City, Paulo Josue mengawal bola ketika menentang Sabah FC di Stadium Kuala Lumpur. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Badi kemenangan akhirnya terlerai buat Kuala Lumpur City FC (KL City) apabila berjaya melakar kemenangan 2-0 ke atas Sabah FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras, di sini, malam tadi.

Kejayaan mengutip tiga mata itu yang pertama buat anak buah Bojan Hodak Salam saingan Liga Super musim ini.

Sebaliknya kegagalan Sabah mengutip sebarang mata menyebabkan pasukan itu jatuh di tangga kelima liga selepas bermula agak cemerlang pada awal musim dengan berada di tiga kelompok teratas liga.

Dalam aksi itu, KL City yang belum merasai nikmat kemenangan dalam lima aksi nyata cukup bernafsu memburu gol awal perlawanan.

Gol pertama berjaya diraih tuan rumah menerusi lambungan mudah T Saravanan yang menerima hantaran Sebastian Avanzini di minit ke-15.

Naib juara Piala AFC musim lalu itu hampir menggandakan kelebihan di hujung babak pertama hasil gerakan kemas Paulo Josue namun Kipre Tchetche yang menerima hantaran itu gagal meletakkan bola di dalam gawang lawan.

Bersambung babak kedua, Datuk Ong Kim Swee melakukan beberapa pertukaran dan hasilnya Sabah dilihat cukup berbahaya dalam memburu gol penyamaan.

Pemain tengah Sabah, Stuart Wilkin berpeluang mencetak nama selaku penjaring tetapi rembatannya tepat ke arah Azri Ghani untuk menepis percubaan itu di minit 47.

Walaupun serangan demi serangan dilancarkan Sabah, KL City sebaliknya berjaya menambah gol kedua di masa kecederaan menerusi Sean Giannelli buat menggembirakan kem tuan rumah.

Sementara itu, Sri Pahang FC berjaya membawa pulang tiga mata selepas menewaskan PDRM FC 2-1 di Stadium MBPJ.

Pasukan pelawat mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi jaringan Baqiuddin Shamsudin minit ke-17 dan Kpah Sherman lima minit selepas itu.

The Cops cuba bangkit dengan merapatkan jurang hasil penyudah James Okwuosa minit ke-77 namun kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 12:07 AM