Pemain TFC, Derchi Mqrcel (kanan) meraikan jaringannya pada aksi Piala Malaysia. FOTO Ghazali Kori
Pemain TFC, Derchi Mqrcel (kanan) meraikan jaringannya pada aksi Piala Malaysia. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) menjadikan Selangor FC mangsa keduanya dalam aksi Piala Malaysia Kumpulan B apabila berjaya menumpaskan pasukan itu 2-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak malam ini.

Dengan kemenangan itu, skuad kendalian Nafuzi Zain terus mendahului carta kumpulan dengan mengutip enam mata manakala Selangor FC kedua dengan tiga mata.

Skuad kendalian Karsten Neitzel terlebih dahulu mencemaskan kubu pasukan tuan rumah ketika perlawanan baharu berusia 57 saat menerusi rembatan kencang Muhamad Mukhairi Ajmal Mahadi dalam kotak penalti, tapi penjaga gol, Suhaimi Husin sudah bersedia menepis percubaan itu.

Pada minit kelima, pemenang Kasut Emas Liga Perdana musim ini, Jordan Mintah terlepas peluang untuk mencetak nama sebagai penjaring gol apabila gagal menyambar bola hantaran lintang Muhammad Azam Azmi Murad.

Pelawat menerusi penjaring terbanyak Liga Super musim ini, Ifedayo Olusegun sepatutnya sudah meletakkan skuadnya di depan pada minit ke-13, namun kepantasan penjaga gol menghalang percubaan pemain itu sekali gus mengecewakan kem skuad The Red Giants.

Skuad Penyu yang lebih banyak mendominasi permainan terutama kombinasi Habib Haroon, Dechi Marcel dan Lee Tuck di jentera tengah dilihat banyak mengatur gerakan bahaya sekali gus memaksa pertahanan pelawat bekerja keras.

Namun pada minit ke-22, Marcel yang tidak dikawal berjaya melepaskan rembatan padu dari luar kotak penalti yang hanya dapat diperhatikan penjaga gol, Khairulazhan Khalid untuk pasukannya mendahului 1-0.

Selepas jaringan itu, pemain TFC kian bernafsu untuk menambah jaringan , namun percubaan Mintah pada minit ke-36 dan 43 berjaya dihalang pertahanan pelawat.

Bersambung babak kedua, TFC menggandakan asakan dan hampir menambah jaringan kedua menerusi Habib yang berjaya melepaskan rembatan padu namun sedikit melewati palang gol.

Pada minit ke-51, gol kedua yang dicari akhirnya menjelma menerusi gerakan Faisal yang menghantar bola kepada kepada Tuck sebelum pemain berdarah kacukan England-Malaysia itu mudah menyempurnakan peluang untuk pasukannya mendahului 2-0.

Mintah berpeluang menambah jaringan ketiga selepas hanya berdepan dengan Khairulazhan pada minit ke-60, tapi percubaannya berjaya dibaca penjaga gol kebangsaan itu.

Sedar kerap diasak, pelawat melakukan perubahan taktikal, hasilnya pada minit ke-74 pemain pertahanan, Ashmawi Md Yakin berjaya menyambar bola muntah tampanan penjaga gol hasil sepakan Wan Zack Haikal Wan Nor untuk merapatkan kedudukan 1-2.

Impian skuad The Red Giants menambah jaringan tidak kesampaian selepas pertahanan tuan rumah kental bertahan hingga wisel penamat ditiupkan pengadil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 11:42 PM