PEMAIN TFC II, Hafizal Mohamad (kiri) cuba menghalang pemain KCFC, Joseph Kalang Tie pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini. FOTO Ihsan TFC
PEMAIN TFC II, Hafizal Mohamad (kiri) cuba menghalang pemain KCFC, Joseph Kalang Tie pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC II (TFC II) merampas kedudukan teratas Liga Perdana selepas menang tipis 1-0 menundukkan Kuching City FC (KCFC) pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, dekat sini sebentar tadi.

TFC II yang beraksi 11 perlawanan, berkongsi 22 mata dengan Kelantan FC manakala KCFC turun satu anak tangga di kedudukan keempat dengan mengutip 20 mata.

Skuad kendalian Badrul Afzan Razali yang tewas 0-3 kepada UiTM FC Sabtu lalu bermula garang dengan percubaan pertama pada minit ketiga menerusi rembatan deras dalam kotak penalti Muhamad Syaiful Haqim Shahrul, namun penjaga gol skuad The Cats Shaiful Wazizi Mohammad sudah bersedia untuk menampan bola percubaan itu.

Empat minit berselang giliran pasukan pelawat bimbingan Irfan Bakti Abu Salim mendapat peluang terbaik untuk mendahului menerusi rembatan deras Mohamad Alif Hassan yang sekadar menggegar palang sekali gus terselamat pintu gol tuan rumah yang dikawal Suhaimi Husin.

Skuad pelawat yang kerap bertahan mendapat peluang kedua untuk menjaringkan gol pada minit ke-18, namun rembatan leret kapten, Joseph Kalang Tie sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol.

Skuad The Turtles yang beraksi tanpa pemain import selepas Argzim Redzovic dikeluarkan pada minit ke-20 dan digantikan dengan Safwan Mazlan hampir memecah kebuntuan seminit sebelum tamat babak pertama, tapi peluang dimiliki Nur Azfar Fikri Azhar gagal diterjemahkan dengan jaringan walaupun pintu gol sudah terbuka.

Bersambung babak kedua, tuan rumah mengubah taktikal permainan dan hampir berjaya mendahului, tapi rembatan Muhammad Muslihuddin Atiq Mat Zaid hanya sedikit tersasar, begitu juga tandukan Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob pada minit ke-63 sedikit melepasi palang gol.

Usaha berterusan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil apabila bola sepakan percuma Muhammad Syaiful Haqim pada minit ke-78 ditanduk Safwan untuk mendahului 1-0.

Pada minit ke-89, pelawat beraksi dengan sepuluh pemain selepas pemain gantian, Che Mohamad Arif Che Kamarudin dilayangkan kad merah susulan mengasari pemain lawan. Kedudukan itu kekal hingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2022 @ 11:05 PM