MAMUT  (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika menentang KL City  di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam ini. FOTO Ghazali Kori
MAMUT (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika menentang KL City di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam ini. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) mengesahkan tempat ke pentas final Piala Malaysia musim ini selepas membenam cabaran Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 2-1 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Penyu kendalian Tomislav Steinbruckner menang dengan agregat 4-2 dan bakal berdepan penyandang juara, Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi final 9 Disember depan.

Terdahulu berbekalkan sokongan padu lebih 25,000 peminat setia, pemain TFC yang mahu mengulangi pencapaian mara ke final piala berprestij itu pada 2018 bermula garang dengan percubaan pertama pada minit kesembilan menerusi Liridon Krasniqi yang sedikit tersasar di sebelah kanan gol pelawat.

TFC mendapat peluang kedua menerusi Sony Norde pada ke-13, namun rembatannya dihalang penjaga gol, Kevin Mendoza, begitu juga rembatan kapten, Habib Haroon tiga minit berselang sekali lagi dinafikan penjaga gol kebangsaan Filipina itu.

Skuad Penyu mendapat dua lagi peluang terbaik menerusi Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob dan Liridon masing-masing pada minit ke-22 dan 26, namun pertahanan skuad The City Boys masih kebal mengawal kubu daripada dibolosi.

Bagaimanapun pada minit 42, penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut membuktikan sentuhan berbisanya apabila bijak melakukan rembatan padu dalam kotak penalti hasil hantaran Nor Hakim Hassan untuk pasukannya mendahului 1-0.

Sepanjang babak pertama, pelawat hanya mendapat satu percubaan tepat menerusi tandukan kapten, Paulo Josue hasil hantaran lintang Declan Lambert pada minit ke-35 yang sedikit tersasar melepasi palang gol.

Pada awal babak kedua, pelawat kendalian Nenad Bacina memasukkan dua tenaga baharu iaitu Kipre Tchetche dan Ryan Lambert bagi menggantikan Sean Giannelli dan Sebastian Avanzini.

Percaturan Bacina membuahkan hasil apabila penyerangnya, Romel Morales mudah menanduk masuk hasil hantaran lintang Haqimi Azim Rosli yang sebelum itu terkena pertahanan tuan rumah, Ubaidullah Shamsul Fazili pada minit ke-51 untuk kedudukan 1-1.

Tersentak gol penyamaan pelawat, TFC menggandakan asakan dan pada minit ke-67, Mamut sekali lagi menggamatkan penyokong setia tuan rumah apabila menjaringkan gol kedua pasukannya menerusi rembatan berkelas dunia dari luar kotak penalti untuk pasukannya mendahului 2-1.

Seminit sebelum tamat perlawanan, pelawat beraksi dengan sepuluh pemain selepas Kenny Pallraj dilayangkan kad kuning kedua sekali gus diarahkan keluar padang oleh pengadil, Muhammad Nazmi Nasaruddin kerana mengasari pemain TFC.

Kedudukan itu kekal hingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan misi TFC ke final tercapai selepas terkandas di peringkat separuh akhir musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2023 @ 11:10 PM