HABIB  diasak pemain Sarawak United FC, Norman Angkun. FOTO Ghazali Kori
HABIB diasak pemain Sarawak United FC, Norman Angkun. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Penyerang Terengganu FC (TFC), Kpah Sherman memberikan keceriaan buat kem pasukan apabila jaringan tunggalnya membantu merakam kemenangan 1-0 menumpaskan Sarawak United FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam ini.

Dalam perlawanan disaksikan lebih 9,000 peminat itu, pengendali TFC, Nafuzi Zain melakukan perubahan dengan menyenaraikan penjaga gol, Suhaimi Husin, pemain tengah, Azalinullah Mohamed Alias dan Hakimi Abdullah serta pertahanan Arif Fadzilah Abu Bakar dan Azarul Nazarith Azhar dalam kesebelasan utama pasukan.

Percaturan jurulatih muda itu yang menerapkan corak permainan menyerang bermula awal permainan hampir menemui sentuhan jaringan menerusi Manuel Ott pada minit ke-11, namun sepakannya tersasar.

TFC yang mendominasi permainan mendapat peluang kedua menerusi Habib Haroon pada minit ke-17, tapi percubaan pemain kelahiran Bahrain itu juga gagal menemui jaringan.

Sedar kemenangan begitu diperlukan pasukan untuk memperbaiki kedudukan dalam carta liga selepas rekod tanpa tewas di gelanggang sendiri lebur di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) 1-2 Rabu lalu, barisan pemain TFC terus melancarkan serangan untuk memburu gol ketika pelawat dilihat banyak bertahan.

Bagaimanapun hantaran Ott kepada Habib pada minit ke-22 sekali lagi gagal diterjemahkan dengan jaringan ketika penjaga gol pelawat, Taufiq Ar Rasyid Johar sudah bersedia menafikan rembatan leret pemain tengah itu.

Ketika tuan rumah kerap mengasak kubu pelawat, hasil sepakan sudut, Gonzalo Soto hampir memecah kebuntuan pada minit ke-30, namun tandukannya hanya sedikit tersasar di penjuru kiri pintu gol.

Bersambung babak kedua, TFC memasukkan pemain sayap lincahnya, Mohd Faisal Halim dan mengeluarkan Hakimi Abdullah, namun masih buntu memecah kebuntuan gol walaupun mendapat peluang terbaik pada minit ke-58 menerusi rembatan Ott yang ditepis penjaga gol.

Usaha berterusan skuad Penyu akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-71 menerusi Sherman. Gol itu berpunca daripada larian solo Mohd Faisal di sebelah kanan pintu gol pelawat yang kemudian menghantar bola ke tengah sebelum disambar pemain kelahiran Liberia itu untuk pasukannya mendahului 1-0.

Jaringan pertama itu bagaikan pencetus semangat buat pemain TFC apabila hampir menambah jaringan kedua menerusi pemain gantian, Muhammad Alif Zakaria pada minit ke-82, tapi penjaga gol bijak menghalang percubaan pemain pertahanan itu dan keputusan muktamad kekal 1-0 memihak kepada TFC.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 11:15 PM