HIDUNG Kylian Mbappe patah ketika aksi pertama menentang Austria. FOTO Agensi
HIDUNG Kylian Mbappe patah ketika aksi pertama menentang Austria. FOTO Agensi
Reuters

Duesseldorf, Jerman: Ketua pasukan Perancis, Kylian Mbappe tidak terkejut jika hidungnya menjadi sasaran pemain Belgium dalam aksi 16 terbaik Euro di Duesseldorf esok.

Sebelum ini, Mbappe mengalami kecederaan patah hidung pada aksi pertama Kumpulan D namun kembali beraksi dalam aksi ketiga dengan memakai topeng muka dan dia menjaringkan gol buat pasukannya.

"Saya fikir jika anda bermain dengan hidung patah dan anda masih belum dibedah lagi, sudah tentu anda adalah sasaran pemain lawan.

"Saya sedar bila saya enggan melakukan pembedahan kerana mahu beraksi di sini (di saingan Euro), saya perlu ambil risiko apabila beraksi.

"Mungkin perlanggaran boleh berlaku dan boleh mendatangkan kesakitan. Tetapi saya bersedia memberikan segala yang saya mampu untuk pasukan dan membantu Perancis pergi sejauh mungkin.

"Jika ada yang mahu melakukan sesuatu pada hidung saya silakan. Saya tetap akan bermain dan membantu pasukan," katanya pada sidang media menjelang aksi menentang Belgium.

Ujarnya lagi, keenggannya untuk melakukan pembedahan di bahagian hidung adalah kerana mahu memberi fokus membantu pasukan di Jerman terlebih dulu.

"Kalau saya buat pembedahan, sudah tentu saya perlu pulang dan tinggalkan pasukan kerana perlu berehat. Tapi saya mahu selesaikan tugas bersama pasukan terlebih dulu sebelum memikirkan soal kecederaan hidung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 3:19 AM