Pemain TFC, Jordan Mintah (kiri) diasak pemain Sarawak United FC, Stuart James pada aksi Piala Malaysia. FOTO Ghazali Kori.
Pemain TFC, Jordan Mintah (kiri) diasak pemain Sarawak United FC, Stuart James pada aksi Piala Malaysia. FOTO Ghazali Kori.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) mencerahkan peluang ke separuh akhir selepas berjaya meraih kemenangan tipis 2-1 pada aksi suku akhir pertama menentang Sarawak United FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, sebentar tadi.

Dalam perlawanan itu, naib juara Liga Perdana terlebih dahulu menguji kubu tuan rumah menerusi tandukan tepat bekas pemain TFC, Stuart Wark selepas mendapat hantaran S Chanthuru pada minit ke-12, namun penjaga gol, Mohd Suhaimi Husin sudah bersedia untuk menepis percubaan itu.

Pada minit ke-17, pemain sayap lincah TFC, Faisal Halim menggamatkan hampir 9,000 peminat setia skuad Penyu apabila meledak gol pendahuluan untuk tuan rumah mendahului 1-0.

Jaringan itu terhasil melalui rembatan padu dari luar kotak penalti yang menyaksikan bekas penjaga gol TFC, Mohd Sharbinee Allawee Ramli gagal menepis bola.

Seminit berselang, pengendali TFC, Nafuzi Zain terpaksa mengeluarkan pemain tengahnya, Habib Haroon yang mengalami kecederaan dan digantikan dengan Muhammad Zuasrayraf Zulkiefle.

Tersentak jaringan itu, skuad bimbingan E Elavarasan memperkemaskan asakan dan hasilnya pada minit ke-21, skuad Kenyalang Emas itu berjaya menyamakan kedudukan 1-1 berpunca jaringan sendiri pertahanan TFC, Muhammad Shahrul Nizam Ros Hasni yang tertampan bola hantaran lintang Tommy Mawat.

Pada minit ke-37, giliran Elavarasan mengeluarkan pemain tengahnya, Sandro Da Silva dan digantikan dengan Abdul Rahim Abdul Razak selepas pemain kelahiran Brazil itu mengadu sakit pada bahagian dada.

TFC yang lebih kerap mengatur gerakan memperoleh gol kedua sekali lagi menerusi Faisal pada minit ke-41, namun pengadil, Mohd Hasrol Mohd Amir membatalkan jaringan itu selepas pemain itu terlebih dahulu dikesan berkedudukan ofsaid.

Pada masa kecederaan babak pertama, penyerang kelahiran Ghana, Jordan Mintah terlepas peluang untuk mencetak nama sebagai penjaring apabila sepakan percumanya berdekatan kotak penalti terkena tiang gol sebelah kanan.

Bersambung babak kedua, kapten Sarawak United, Uche Agba juga berpeluang untuk menambah jaringan pasukannya pada minit ke-47 selepas hanya berdepan dengan penjaga gol, namun gagal menyudahkan peluang itu selepas bijak dihalang penjaga gol.

Pada minit ke-51, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sekali lagi bergema dengan sorakan padu peminat setia apabila pemain bertubuh kecil, Faiz Nasir melakukan rembatan kencang dalam kotak penalti untuk pasukannya mendahului 2-1.

Memasuki minit ke-58, arkitek berdarah kacukan England-Malaysia, Lee Tuck dimasukkan menggantikan Dechi Marcel bagi menghidupkan 'enjin' pasukan.

Empat minit berselang, pemain pertahanan skuad Penyu, Azarul Nazarith Azhar hampir menambah jaringan ketiga pasukannya, tapi kecekapan Mohd Sharbinee Allawee berjaya menghalang percubaan pemain itu.

Percubaan pemain gantian, Engku Nur Shakir Engku Yacob pada minit ke-69 terkena palang sebelah kiri pintu gol pelawat begitu juga kuisan Mintah pada minit ke-81 ditepis penjaga gol untuk keputusan 2-1 kekal hingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 11:45 PM