PEMAIN Terengganu FC II, Syafik Ismail (dua kanan) diasak pemain PDRM FC, Afiq Azuan (kiri)  pada aksi perlawanan Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. FOTO Ghazali Kori
PEMAIN Terengganu FC II, Syafik Ismail (dua kanan) diasak pemain PDRM FC, Afiq Azuan (kiri) pada aksi perlawanan Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC II (TFC II) terus buntu untuk melakar kemenangan kedua selepas terikat 1-1 dengan PDRM FC pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu, hari ini.

Keputusan seri itu adalah kelima berturut-turut buat skuad The Turtles itu manakala hasrat The Corp untuk membuka episod baharu selepas pemecatan jurulatihnya, Mat Zan Mat Aris juga tidak kesampaian.

Skuad The Turtles yang menurunkan tiga pemain import termasuk pertahanan Terengganu FC (TFC), Christopher Herd lebih banyak mendominasi permainan dengan beberapa gerakan menarik berjaya dicipta.

Namun penyudah tumpul mengagalkan impian skuad kendalian Badrul Afzan Razali itu untuk memburu jaringan awal biarpun berpeluang menerusi rembatan kencang Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob pada minit ke-25 yang sedikit melepasi palang gol.

Begitu juga menerusi tandukan pemain import kelahiran Jepun, Masaki Watanabe pada minit ke-34 hasil sepakan percuma Muhammad Syafik Ismail gagal menerjah jaring selepas ditepis penjaga gol, Muhamad Hamka Daud.

Usaha berterusan tuan rumah akhirnya berhasil apabila Mohamad Ramzi Sufian bijak menyambung rembatan leret Argzim Redzovic pada minit ke-35 untuk pasukannya mendahului 1-0 sehingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, pelawat yang buntu mencipta gerakan pada separuh masa pertama mula memberi tekanan untuk memburu jaringan penyamaan.

Gol yang dicari skuad The Corp akhirnya menjelma menerusi tandukan menarik pemain gantian, Alexander Amponsah hasil sepakan sudut Mohamad Afiq Azuan untuk mengikat kedudukan 1-1.

Sedar kerap ditekan, TFC II mengubah taktikal dengan menyerang melalui kedua-dua arah namun masih gagal untuk menambah jaringan biarpun berpeluang menerusi tandukan Izzan Syahmi Mustapa pada minit ke-64 yang hanya sedikit melepasi palang gol.

Malang berganda buat TFC II apabila terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain selepas Watanabe dilayangkan kad merah pada masa kecederaan sesudah mengasari Afiq Azuan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 11:32 PM