MINTAH menguasai bola sambil dicabar pemain JDT II. FOTO TFC
MINTAH menguasai bola sambil dicabar pemain JDT II. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC II (TFC II) berjaya 'melemaskan' pendahulu Liga Perdana, Johor Darul Ta'zim II (JDT II), 2-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Dengan kemenangan itu, TFC II naik dua anak tangga di kedudukan ketiga liga manakala kedudukan JDT II tidak berubah kekal di tangga teratas liga.

Skuad The Turtles yang menurunkan lima pemain skuad 'abang', Terengganu FC (TFC) bermula garang dengan kerap mengatur gerakan untuk memburu jaringan menerusi penjaring terbanyak Liga Perdana musim lalu, Jordan Mintah namun dipatahkan pertahanan skuad Harimau Selatan.

Skuad kendalian Badrul Afzan Razali hampir memecah kebuntuan pada minit ke-15 menerusi rembatan deras Mintah, namun berjaya ditepis keluar penjaga gol, Mohd Izham Tarmizi Roslan yang juga kapten pasukannya.

Pada minit ke-24, skuad pelawat kendalian Raul Mariano mendapat peluang pertama menerusi rembatan padu Adam Farhan Mohd Faizal, tapi penjaga gol tuan rumah, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin sudah bersedia menangkap kemas percubaan pemain itu.

TFC II yang mendominasi permainan dan lebih kerap mengatur gerakan gagal menemui sentuhan jaringan, sebaliknya percubaan tepat kedua dimiliki pelawat membuahkan hasil menerusi jaringan pemain import berdarah kacukan Filipina-Sepanyol, Bienvenido Maranon pada minit ke-43.

Jaringan itu berpunca daripada hantaran silang Ahmad Hazwan Bakri dari sebelah kanan pintu gol sebelum bola terkena kepala pertahanan TFC II, Luke Woodland kemudian singgah di kaki Maranon untuk pasukannya mendahului 1-0 hingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, skuad The Turtles yang ketinggalan mengubah rentak permainan dan hampir berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-51 hasil hantaran Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob kepada Mintah, namun peluang itu gagal disudahkan dengan jaringan.

Usaha berterusan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil apabila pemain tengah, Zuasyraf Zulkiefle melakukan rembatan kencang dalam kotak penalti pada minit ke-62 hasil hantaran lintang Hakimi Abdullah untuk menyamakan kedudukan 1-1.

Selepas jaringan itu, skuad The Turtles kian bernafsu apabila mendapat dua lagi percubaan tepat termasuk sepakan percuma berdekatan kotak penalti yang diambil Mintah, namun sepakannya bijak dibaca penjaga gol.

Ketika perlawanan berbaki enam minit masa sebenar ditamatkan, pemain gantian, Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali berjaya menyudahkan sepakan leret Muhammad Muslihuddin Atiq Mat Zaid untuk kemenangan 2-1.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2022 @ 11:17 PM