DATUK Seri Shahril Mokhtar. FOTO AGENSI
DATUK Seri Shahril Mokhtar. FOTO AGENSI
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selangor FC berharap Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memperhalusi sebaiknya sebelum membuat sebarang bentuk hukuman susulan keputusan Red Giants yang menarik diri daripada aksi Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta'zim (JDT), Jumaat lalu.

Menurut Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar, pihaknya tidak bercadang untuk membuat rayuan berhubung perkara itu malah menyifatkan langkah menarik diri adalah pilihan yang tepat selepas permohonan menunda aksi terbabit ditolak MFL.

Jelasnya, beliau berharap MFL membuat keputusan sebaiknya dengan tidak mengeruhkan lagi keadaan serta mengambil kira bahawa semua pihak sayangkan bola sepak termasuk Selangor FC.

"Tidak (tiada rayuan). Apa yang pihak Selangor FC dah lakukan menulis kepada pihak MFL untuk tangguhkan Piala Sumbangsih, kita dah dapat jawapan tidak diterima, keputusan telah dibuat.

"Saya dah cakap banyak kali dah, sekiranya apa-apa keputusan pihak MFL nak buat saya serahkan kepada pihak MFL.

"Jangan membebankan dan jangan mengeruhkan keadaan. Saya tegas dengan apa yang saya katakan," katanya.

Ujarnya lagi, pihaknya tidak akan membuat protes atas kemenangan JDT selaku pemenang Piala Sumbangsih itu.

"Itu undang-undang, saya takkan protes sebab memang dalam peraturan MFL sekiranya sesuatu pasukan tidak hadir, kemenangan tiga kosong akan diberikan.

"Sebab itu pihak Selangor FC tak pernah persoalkan. Itu hak MFL dan saya rasa hak JDT.

"Harapan saya sekiranya ada apa-apa tindakan ataupun denda dan sebagainya, perhalusi dulu dan jangan keruhkan keadaan dan jangan membebankan, sebab kita ini sayangkan bola sepak," katanya.

Terdahulu, Selangor FC memohon penundaan aksi pembuka tirai itu selepas bintang bola sepaknya, Faisal Halim disimbah asid oleh dua individu tidak dikenali hingga mengakibatkan kecederaan parah lecuran tahap empat.

Susulan itu, pengurusan Red Giants memohon agar aksi itu ditunda atas alasan keselamatan namun ia ditolak MFL selepas pihak polis memberi jaminan akan meningkatkan tahap keselamatan sepanjang aksi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2024 @ 2:11 PM