SHAHRIL letak jawatan dalam FAM.
SHAHRIL letak jawatan dalam FAM.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor Datuk Seri Shahril Mokhtar berpendirian teguh tidak mahu membuat pusingan 'U' untuk 'pulang' ke pangkuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) walaupun Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membatalkan dua hukuman terhadap Selangor FC.

Shahril berkata, beliau tidak akan berganjak dengan keputusan melepaskan semua jawatan termasuk sebagai [engurus skuad bawah 23 tahun (B-23) negara walaupun daripada lubuk hati cukup sayang dan cintakan bola sepak.

"Saya tetap dengan pendirian dan tidak akan berganjak terhadap keputusan melepaskan jawatan walaupun MFL menarik balik dua hukuman terhadap Selangor FC.

"Keputusan sudah pun dibuat. Selepas ini, saya hanya memberi tumpuan kepada bola sepak Selangor," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Tidak sampai 48 jam, MFL akhirnya membuat pusingan 'U' apabila membatalkan beberapa keputusan kontroversi ke atas Selangor FC.

Menerusi satu kenyataan dari MFL, badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu membatalkan keputusan pemotongan tiga mata dan perlawanan tanpa penonton babitkan aksi antara Selangor FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di gelanggang skuad Red Giants nanti.

Malah, MFL juga mengurangkan denda daripada RM100,000 ke RM60,000 terhadap Selangor FC. Mengikut rekod, MFL mengenakan empat bentuk hukuman terhadap Selangor FC susulan tindakan pasukan itu 'tidak hadir' pada aksi Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, 10 Mei lalu.

Badan pengelola Liga M itu memaklumkan skuad Gergasi Merah turut dikenakan tiga lagi hukuman termasuk bayaran pampasan kerugian ditanggung pasukan tuan rumah, JDT dan MFL selain pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025.

Susulan itu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kecewa dan amat dukacita dengan keputusan ahli-ahli MFL serta ahli-ahli FAM khusus kepada Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berhubung kes ketidakhadiran Selangor FC itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 2:38 PM