FOTO MFL
FOTO MFL
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) terpaksa membuka 'talian hayat' mengejut kepada pasukan dari Liga M3 untuk menghantar kembali permohonan lesen luar biasa bagi menyertai Liga Super musim 2024/2025.

Menerusi kenyataan rasmi di Facebook MFL, pihak mereka terpaksa melakukan perkara itu selepas mengambil kira keputusan First Instance Body (FIB) dan Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB) yang menolak permohonan Lesen Kebangsaan Kelantan FC untuk bertanding dalam Liga Super 2024-2025.

"Ketiadaan Kelantan FC menyaksikan kekosongan slot ke-14 bagi saingan Liga Super musim ini. Justeru MFL meminta semua kelab M3 AFL yang berminat untuk mengemukakan permohonan lesen luar biasa ini pada 18 Januari 2024 dan proses penyerahan semua dokumen menerusi AFC CLAS akan bermula 19 Januari 2024 hingga 2 Februari 2024," kata MFL dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

Selain itu, permohonan lesen luar biasa ini dibuka semula kepada kelab-kelab AFL M3 berdasarkan kepada Perkara 4.5, 4.6 dan Annexe III Peraturan Pelesenan Kelab MFL.

Bagi pasukan berminat untuk memohon, MFL menetapkan kriteria untuk mengisi slot Liga Super itu masih sama dengan kriteria permohonan luar biasa dari pasukan Liga M3 dan sub-kriteria iaitu Infrastruktur, Kakitangan & Pentadbiran, Sukan, Perundangan, Kewangan dan Perniagaan yang telah dinyatakan dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023.

MFL akan memilih hanya satu kelab terbaik yang memenuhi kriteria ditetapkan untuk mengisi slot ke-14 selepas ketiadaan Kelantan FC.

Terdahulu Arena Metro melaporkan persoalan nasib Kelantan FC sama ada boleh beraksi di Liga Super atau sebaliknya akhirnya menemui titik noktah apabila Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menolak rayuan permohonan Lesen Kebangsaan pasukan itu.

Ini bermakna, tiada kelibat Kelantan FC dalam kancah saingan Liga Super musim 2024/2025 sekali gus pasukan terbabit boleh mengucapkan selamat tinggal kepada kelab lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 10:23 PM