PEMAIN tengah Republik Czech, Tomas Holes meraikan gol sulungnya ketika menewaskan Belanda 2-0 di pusingan kedua Euro 2020, semalam. FOTO EPA
PEMAIN tengah Republik Czech, Tomas Holes meraikan gol sulungnya ketika menewaskan Belanda 2-0 di pusingan kedua Euro 2020, semalam. FOTO EPA
AFP

Prague: Apabila pemain tengah Republik Czech, Tomas Holes menjaringkan gol pada hujung perlawanan untuk membantu Slavia Prague seri di Arsenal pada kempen Liga Europa, April lalu, adik beradiknya berdepan masalah dengan jiran mereka.

"Kami minta maaf kerana membuat bising pada 11 malam," kata nota ditulis Jiri Holes dan dilekatkan di papan kenyataan di tingkat bawah flat dihuni mereka, keesokannya.

"Hanya mahu jelaskan, abang saya menjaringkan gol pada minit ke-90 perlawanan suku akhir Liga Europa dengan Arsenal," tulisnya.

Jadi, apabila Holes menjaringkan gol pembukaan ketika menentang Belanda di pusingan kedua Euro 2020, semalam, pengulas televisyen Czech pantas menyatakan: "Saya risau apa yang berlaku kepada keluarga mereka."

Holes, 28, menanduk masuk gol itu hasil sepakan sudut pada minit ke-68.

Dia kemudian mendepakan tangan sambil tersenyum kerana menyedari sudah mengatasi pasukan pilihan, Belanda yang beraksi dengan 10 pemain untuk mara ke suku akhir.

"Bola sepakan sudut itu menuju ke tiang belakang dan saya berada di tiang depan, Tomas Kalas bertindak bijak menanduk bola itu dan memudahkan tugas saya menjaraingkan gol," kata Holes.

Czech menewaskan Belanda 2-0 di Budapest dan akan bertemu Denmark di suku akhir di Baku pada 3 Julai ini.

Holes turut terbabit dalam gol kedua pasukannya apabila merampas bola di antara Denzel Dumfries dan Georginio Wijnaldum sebelum meluru masuk ke kawasan penalti dan mengumpan kepada penyerang, Patrik Schick.

Holes membesar sebagai pemain bola sepak di bandar Hradec Kralove, sebelum dia kemudian berpindah ke Jablonec dan menyertai Slavia menjelang musim 2019/2020.

Slavia membelinya sebagai bek kanan sebelum posisi itu diambil Vladimir Coufal, yang kini bermain bersama West Ham.

Jurulatih Slavia, Jindrich Trpisovsky memutuskan menggunakan Holes sebagai pemain tengah bertahan iaitu tugas sama dengan bekas kapten Jerman, Philipp Lahm.

"Saya memintanya tidak risau kerana Philipp Lahm berubah posisi dari bek kanan pada usia 28 tahun dan kemudian dia menjadi kapten kepada juara dunia itu. Jadi, kamu pun boleh," kata Trpisovsky.

Pada mulanya, Holes tidak begitu seronok kerana menyifatkannya sebagai tugas sukar.

"Saya tidak bermain di Slavia dan banyak kali tidak berada dalam senarai pemain termasuk pemain simpanan. Apabila diturunkan, saya beraksi di bawah kemampuan," katanya.

Bagaimanapun, menunjukkan kehebatannya ketika menentang Arsenal apabila dia turunkan sebagai bek tengah menggantikan Ondrej Kudela yang digantung 10 perlawanan kerana isu perkauman.

Holes muncul di peringkat antarabangsa pertama bersama skuad gantian Czech berdepan Scotland, September lalu selepas barisan pemain utama dijangkiti Covid-19.

Dia kemudiannya menjadi nadi utama di jentera tengah Czech bersama bintang West Ham, Tomas Soucek.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 8:52 PM