AKSI  Conceicao (kanan) ketika menjaringkan gol kemenangan Portugal.
AKSI Conceicao (kanan) ketika menjaringkan gol kemenangan Portugal.
AFP

Leipzig, Jerman: Jurulatih Republik Czech Ivan Hasek kecewa selepas pasukannya melepaskan gol lewat ketika tewas 1-2 di tangan Portugal dalam aksi pertama mereka di Euro 2024, awal pagi tadi.

Czech cekal bertahan menangani asakan Portugal sepanjang babak pertama di Leipzig sebelum mencipta kejutan ke atas antara pasukan pilihan kejohanan itu pada awal babak kedua.

Rembatan kencang Lukas Provod di luar kotak penalti gagal diselamatkan Diogo Costa.

Tetapi kegembiraan Czech hanya bertahan tujuh minit apabila gol sendiri Robin Hranac menyamakan kedudukan dan Francisco Conceicao menjaringkan gol pertamanya untuk Portugal bagi membolehkan skuad Roberto Martinez meraih tiga mata.

"Saya memang marah. Kami menentang antara pasukan terbaik dunia dan ia hampir seri (sehingga minit kecederaan). Sangat mengecewakan melepaskan gol minit akhir tetapi anda boleh melihat kualiti mereka," kata Hasek.

"Kami tidak menjadikan ia mudah buat Portugal. Ketika bertahan, kami tidak banyak memberikan mereka banyak ruang untuk mencipta peluang.

"Pertahanan kami bekerja keras sehingga ke bahagian dalam tetapi Portugal mempunyai kualiti hebat dan memaksa kami bertungkus lumus menahan serangan mereka."

Perlawanan seterusnya untuk Czech menentang Georgia pada Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 7:25 AM