PENYERANG Croatia, Ivan Perisic merembat masuk gol penyamaan untuk pasukannya seri 1-1 dengan Republik Czech, hari ini. FOTO AFP
PENYERANG Croatia, Ivan Perisic merembat masuk gol penyamaan untuk pasukannya seri 1-1 dengan Republik Czech, hari ini. FOTO AFP
AFP

Glasgow: Patrik Schick mendahului senarai penjaring Euro 2020 menerusi gol ketiga kejohanan ketika Republik Czech seri 1-1 dengan Croatia di Glasgow, hari ini, dan hampir layak ke pusingan berikutnya.

Schick mengecewakan penyokong Scotland dengan dua gol untuk pasukannya menang 2-0 di Hampden Park, Isnin lalu, termasuk jaringan menakjubkan dari jarak hampir 50 meter yang dianggap antara gol terbaik dalam sejarah Kejuaraan Eropah.

Kali ini, dia berdepan tugas mudah apabila menjaringkan gol menerusi sepakan penalti, namun rembatan kencang Ivan Perisic pada awal babak kedua memastikan Croatia kekal berpeluang layak ke pusingan kalah mati.

Finalis Piala Dunia itu perlu menewaskan Scotland, Selasa ini sama ada untuk memintas Czech di tempat kedua Kumpulan D atau layak sebagai antara empat pasukan tempat ketiga terbaik.

Czech kini mendahului satu mata di atas England yang akan turun menentang Scotland, hari ini.

Dirangsang kemenangan sulung kejohanan, anak buah Jaroslav Silhavy bermula cemerlang dengan dua pemain West Ham, Vladimir Coufal dan Tomas Soucek hampir menemui sasaran.

Croatia yang mengejutkan Argentina dan England untuk layak ke final Piala Dunia di Russia, tiga tahun lalu, kelihatan kurang mengancam berikutan ketiadaan Ivan Rakitic dan Mario Mandzukic, yang bersara daripada bola sepak antarabangsa.

Pemain veteran, Luka Modric dan Perisic kekal menjadi sandaran negara mereka dan berganding cemerlang.

Dejan Lovren dimasukkan dalam dua pertukaran dibuat jurulatih, Zlatko Dalic ke atas pasukan yang tewas 0-1 kepada England, Ahad lalu, tetapi bekas bek tengah Liverpool itu menghadiahkan penalti kontroversi.

Siku Lovren terkena Schick ketika mereka berebut bola tinggi dalam kotak penalti sehingga hidung penyerang Bayer Leverkusen itu berdarah dan kejadian itu kemudian dirujuk VAR.

Schick mudah menjaringkan gol ketiganya di kejohanan ini sebelum Perisic mencelah masuk dari sayap dan merembat dengan kaki kanan untuk gol penyamaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 2:06 AM