TIGA pemain Czech sedang bersuka ria di kelab malam. FOTO Agensi
TIGA pemain Czech sedang bersuka ria di kelab malam. FOTO Agensi
AFP

Prague: Pertahanan West Ham, Vladimir Coufal adalah salah seorang daripada tiga pemain Republik Czech yang dihantar pulang selepas ke kelab malam menjelang perlawanan penting kelayakan Euro 2024 menentang Moldova.

Coufal, serta pertahanan, Jakub Brabec dari pasukan Greece, Aris Thessaloniki dan penyerang Sparta Prague, Jan Kuchta, 'secara asasnya melanggar peraturan dalaman pada malam Sabtu', kata pasukan kebangsaan di media sosial X.

"Mereka meninggalkan kem pasukan kebangsaan berkuat kuasa serta-merta," tambahnya.

The Sport berkata dalam laman webnya, tiga pemain itu ditangkap di kelab malam Belmondo di pusat bandar Olomouc di mana pasukan itu akan menentang Moldova awal pagi esok.

Mereka memuatnaik gambar mereka bertiga bersama Tomas Neumann, ahli jawatankuasa eksekutif Persatuan Bola Sepak Czech.

Czech menduduki tempat kedua dalam Kumpulan E mencari sekurang-kurangnya satu mata daripada perlawanan Moldova untuk layak ke kejohanan di Jerman tahun depan.

Jurulatih Jaroslav Silhavy, yang sendiri berdepan kritikan selepas rentetan persembahan hambar, termasuk kekalahan 0-3 kepada Albania baru-baru ini dalam perlawanan kelayakan, berkata salah laku itu adalah sangat mengecewakan dan komplikasi besar.

Ketiga-tiga mereka berada dalam kesebelasan utama untuk perlawanan kelayakan terakhir di mana Czech seri 1-1 dengan Poland di Warsaw.

"Kami menjangkakan pemain bersedia untuk perlawanan dan bermain menentang Moldova," kata Silhavy kepada pemberita.

"Mereka juga menyesalinya, mereka meminta maaf kepada pasukan tetapi itu terlalu sedikit."

"Mereka menyedari apa yang mereka lakukan. Mereka sangat menyesal, tetapi ia berlaku dan mereka perlu menanggung akibatnya," tambah Silhavy, yang membawa Czech ke suku akhir Euro 2020.

Czech tidak terlepas melayakkan diri ke Euro sejak muncul sebagai negara merdeka pada 1993.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 1:22 PM