CZECH perlu perkemas bahagian serangan. FOTO AFP
CZECH perlu perkemas bahagian serangan. FOTO AFP
Agensi

London: Republik Czech masih belum mengetahui siapakah lawan mereka di peringkat 16 terbaik Euro 2020 namun apa pasti mereka perlu mencipta lebih banyak peluang selepas tewas 0-1 kepada England.

England mengatur langkah awal dalam perlawanan itu yang menyaksikan Raheem Sterling meledakkan gol kemenangan menerusi tandukan jarak dekat.

Jurulatih Czech, Jaroslav Silhavy berkata, skuadnya beraksi dengan baik namun masih ada kelemahan di bahagian serangan.

"Penamat yang tidak begitu baik hari ini dan England lebih kuat di bahagian itu," katanya.

Tomas Soucek yang mendapat peluang terbaik buat Czech berkata, pasukannya perlu mengawal bola dengan lebih baik.

"Kami perlu memperbaiki pengawalan bola di dalam kotak penalti lawan. Kami mempunyai beberapa peluang yang baik tapi gagal menyempurnakannya," katanya.

Pemain tengah itu berkata, babak kedua lebih seimbang dan Czech mempunyai tujuh peluang menjaringkan gol dengan satu tepat ke arah gawang namun percubaan Tomas Holes itu dinafikan.

Czech terlalu bergantung kepada Patrik Schick, yang menjaringkan tiga gol di peringkat kumpulan dan sedar mereka perlu tampil dengan lebih banyak pilihan menyerang.

Selepas menamatkan kedudukan di tempat ketiga Kumpulan D, mereka mungkin berdepan Belanda, Belgium atau juara Kumpulan E Sweden, Slovakia, Sepanyol atau Poland.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 12:17 PM