PATRIK Schick ketika meraikan golnya ketika menentang Georgia. FOTO Reuters
PATRIK Schick ketika meraikan golnya ketika menentang Georgia. FOTO Reuters
Reuters

Hamburg, Jerman: Republik Czech mungkin terpaksa melupakan khidmat ayam tambatannya, Patrik Schick untuk perlawanan terakhir Kumpulan E Euro 2024 apabila pasukan itu menentang Turkiye awal pagi esok, kata jurulatih, Ivan Hasek.

Schick yang berusia 28 tahun adalah penjaring terbanyak bersama pada Euro 2020 lalu mengalami kecederaan betis ketika membantu mengikat Georgia di Hamburg Sabtu lalu, dan sejak itu dia tidak berlatih.

"Schick bersama fisioterapi dan doktor selama dua hari dan dia tidak berlatih. Dia semakin sihat, tetapi kita akan lihat esok.

"Schick adalah pemain utama, salah seorang penjaring terbaik di Eropah. Tetapi jika dia tidak dapat bermain, kami perlu menggantikannya.

"Kami mempunyai pemain yang mampu menggantikannya dan mereka bersedia dan bekerja keras sepanjang Latihan," kata Hasek .

Ketiadaan Schick sememangnya memberi kesukaran buat Czech untuk mara ke pusingan 16 terakhir.

Mereka sebelum ini tewas kepada Portugal dan bernasib baik untuk mengelak kekalahan di tangan Georgia untuk meraih mata.

Ini bermakna Czech mesti menang awal pagi esok untuk mara ke peringkat berikutnya sekali gus memberi peluang buat pemain yang belum beraksi bermain di pentas Euro kali ini.

"Terdapat tenaga positif dalam pasukan. Beberapa pemain belum bermain lagi, tidak mendapat banyak peluang dan kami mahu menang untuk mereka.

"Ramai pemain belum dapat bermain dan jika menang ini peluang buat mereka beraksi di perlawanan akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 11:17 PM