CROATIA meraikan kejayaan mereka meraih gangsa di Piala Dunia. -FOTO Reuters
CROATIA meraikan kejayaan mereka meraih gangsa di Piala Dunia. -FOTO Reuters
Reuters

Doha: Croatia menamatkan kempen Piala Dunia mereka dengan bangga apabila meraih tempat ketiga selepas menewaskan Maghribi 2-1 yang menandakan berakhirnya perjalanan mereka namun menjanjikan masa depan yang cerah, kata jurulatih, Zlatko Dalic.

Croatia muncul naib juara 2018 menang menerusi gol jaringan Josko Gvardiol dan Mislav Orsic untuk menamatkan kempen Piala Dunia mereka dengan cemerlang dan ia mungkin Piala Dunia terakhir buat Luka Modric.

Croatia menewaskan Brazil pada suku akhir, tetapi bagi Dalic, perlawanan pingat gangsa semalam adalah kemuncak kejohanan mereka.

"Apapun ini adalah perlawanan terakhir kami. Jika anda ingat, saya pernah berkata jika kami tewas ia akan menjadi satu bencana," kata Dalic yang memberi penghormatan kepada bekas pemain tengah Serbia, Sinisa Mihajlovic yang meninggal dunia Jumaat lalu.

"Ia adalah perlawanan yang sukar dan hebat. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Maghribi. Mereka memberikan perlawanan yang hebat hingga minit terakhir biarpun keletihan.

"Mereka boleh berbangga, mereka mengingatkan saya tentang kami empat tahun lalu. Kami antara pasukan terbaik dunia."

Croatia kini boleh melihat masa depan denga yakin.

"Ia adalah penghujung kitaran untuk kami, penghujung perjalanan. Perlawanan malam ini (semalam) dan kemenangan ini adalah kenangan buat kami dalam pertandingan ini," kata Dalic.

"Ya ini adalah Piala Dunia terakhir untuk beberapa pemain saya hari ini kerana usia mereka. Tetapi kami mempunyai pemain muda dalam pasukan dan ia bagus untuk Croatia," katanya merujuk kepada pemain terbaik perlawanan Josko Gvardiol tetapi juga Lovro Majer dan Borna Sosa.

"Kami mempunyai ramai pemain di bangku simpanan juga."

Dalic, bagaimanapun masih mengharapkan barisan pemain lamanya untuk saingan Liga Negara-Negara dan kelayakan Euro 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2022 @ 10:02 AM