PEMAIN Croatia tetap berbangga biarpun meraih gangsa di Piala Dunia. -FOTO EPA
PEMAIN Croatia tetap berbangga biarpun meraih gangsa di Piala Dunia. -FOTO EPA
AFP

Doha: Luka Modric yang mengetuai Croatia meraih gangsa di Piala Dunia mendedahkan dia akan meneruskan kerjaya antarabangsanya sehingga 2023 dalam usaha mereka untuk memenangi Liga Negara-Negara.

Pemain berusia 37 itu meraikan penampilan ke-162 di peringkat antarabangsa dengan kemenangan 2-1 ke atas Maghribi empat tahun selepas membantu negaranya muncul naib juara Piala Dunia di belakang Perancis.

Croatia kini akan cuba memenangi kejuaraan Liga Negara-Negara Jun depan dalam perlawanan yang turut menampilkan Belanda, Itali dan Sepanyol.

"Itu rancangannya," kata Modric apabila ditanya sama ada di berhasrat untuk terus bermain di peringkat antarabangsa.

"Adalah mengarut jika tidak bermain dalam Liga Negara-Negara dan kemudian kita akan lihat bagaimana seterusnya. Saya pasti mahu kekal untuk beraksi di Liga Negara-Negara."

Croatia tewas kepada Argentina yang dicetuskan oleh Lionel Messi pada separuh akhir Piala Dunia namun Modric menegaskan bahawa pasukannya sudahpun mengukuhkan nama mereka di kalangan pasukan handalan dalam sukan itu.

"Kami mencapai sesuatu yang besar dalam bola sepak Croatia. Kami mahukan emas dan kami semakin hampir."

"Akhirnya kami kembali ke Croatia sebagai pemenang. Croatia bukan satu keajaiban yang muncul setiap 20 tahun. Kami membuktikan bahawa kami sentiasa berjaya dan kami tidak boleh dilihat sebagai kuda hitam tapi sebagai suasa besar bola sepak."

Biarpun Modric berhasrat untuk terus bermain di peringkat antarabangsa, jurulatih Zlatko Dalic mengakui masa akan terus berjalan untuk pemain senior yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2022 @ 7:59 AM