KELINCAHAN Williams (tengah) sukar dibendung pertahanan Itali dan dia dinobatkan pemain terbaik perlawanan itu.
KELINCAHAN Williams (tengah) sukar dibendung pertahanan Itali dan dia dinobatkan pemain terbaik perlawanan itu.
AFP

Herzogenaurach, Jerman: Saingan peringkat kumpulan Euro 2024 yang berakhir awal pagi tadi menyerlahkan bakat beberapa pemain muda sekali gus mampu menjadi sandaran pasukan masing-masing pada aksi peringkat kalah mati.

Prestasi cemerlang Sepanyol di peringkat kumpulan menjadikan mereka antara pasukan pilihan utama menjuarai kejohanan dan yang paling menarik perhatian ialah pemain berusia 21 tahun Nico Williams.

Williams bakal berusia 22 tahun pada 12 Julai, hanya dua hari sebelum final Euro 2024 di Berlin.Masih segar selepas membantu Athletic Bilbao menamatkan kemarau trofi 40 tahun dengan menjuarai Piala Raja Sepanyol, Williams menunjukkan kematangannya di peringkat antarabangsa.

Pemain sayap itu sentiasa memberi ancaman kepada pertahanan lawan khususnya ketika menewaskan Itali di mana dia dinobatkan pemain terbaik perlawanan.

Bercakap kepada pemberita selepas tamat perlawanan, Williams yang menerima ucapan tahniah daripada Raja Sepanyol berkata: "Saya impikan detik ini sejak zaman kanak-kanak lagi."

Jamal Musiala, 21, pula muncul penyerang paling berbisa tuan rumah setakat ini di Euro 2024, apabila menjaringkan gol dalam dua perlawanan pertama Jerman.

Selepas tampil kali pertama di Piala Dunia 2022, kini Musiala memiliki pakej lengkap dengan gabungan corak serangan kreatif yang menghasilkan gol.

Di Euro kali ini, Musiala mengetepikan prestasi tak konsisten bersama Bayern Munich dan membentuk gandingan mantap dengan Florian Wirtz, 21, walaupun kedua-duanya memainkan peranan sama di kelab masing-masing.

Selepas dipilih pemain terbaik kejohanan ketika membelasah Scotland pada perlawanan pembukaan, Musiala ditanya sama ada dia sudah mempamerkan aksi terbaik dalam kariernya.

"Anda boleh katakannya, ya," katanya sekali gus bagaikan amaran kepada pasukan lain di kejohanan itu.

Walaupun baru berusia 20 tahun, pemain tengah England Jude Bellingham menjadi tonggak utama Three Lions sejak beraksi di Piala Dunia 2022.

Penjaring gol tunggal England dalam satu-satunya kemenangan mereka setakat ini menyerlah ketika membantu Real Madrid meraih gelaran La Liga dan Liga Juara-Juara.

Bergandingan dengan Harry Kane dan Phil Foden, Bellingham amat penting buat England yang mahu menamatkan badi mereka di kejohanan utama.

Arda Guler, 19, turut menyinar bersama Real Madrid yang menyaksikan dia menjaringkan lima gol dalam enam aksi liga terakhir.

Ketika kedudukan terikat 1-1 dengan Georgia dalam aksi pembukaan, Guler menjaringkan gol kemenangan menerusi rembatan jarak jauh menakjubkan yang dianggap antara gol terbaik kejohanan.

Pada usia 19 tahun 114 hari, Guler muncul penjaring gol termuda pada penampilan pertama di Euro dengan memecahkan rekod Cristiano Ronaldo.

Pemain sayap Barcelona Lamine Yamal turut mencipta sejarah apabila menjadi pemain termuda beraksi di Euro selepas tampil ketika Sepanyol menewaskan Croatia 3-0 pada usianya 16 tahun 338 hari.

Yamal juga menyinar ketika menentang Itali sebelum direhatkan di bangku simpanan ketika berdepan Albania yang menyaksikan Sepanyol mencipta tiga kemenangan sempurna di peringkat kumpulan.

Jurulatih Sepanyol Luis de la Fuente berkata dia cuba mengurangkan beban pemain mudanya itu dengan menghadkan minit permainan bagi mengelakkan kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 11:48 AM