MONTELLA (tengah) meraikan kemenangan bersama pemain Turkiye. FOTO AFP
MONTELLA (tengah) meraikan kemenangan bersama pemain Turkiye. FOTO AFP
Reuters

Dortmund, Jerman: Jurulatih Turkiye Vincenzo Montella meraikan hari jadi ke-50 dengan cara terbaik selepas pasukannya menewaskan Georgia 3-1 dalam aksi pertama saingan Euro 2024, awal pagi tadi.

Pemain muda Real Madrid Arda Guler memberikan pengendali dari Itali itu apa yang dianggap hadiah hari jadi paling bermakna pernah diterimanya susulan rembatan jarak jauh yang meletakkan Turkiye di depan selepas satu jam perlawanan.

"Jurulatih mahukan gol untuk hadiah hari jadinya," kata Guler kepada wartawan. "Saya harap dapat meneruskan gol seperti ini."

Georgia hampir beberapa kali menyamakan kedudukan hasil kerja keras mereka sebelum Kerem Akturkoglu menjadikan kedudukan 3-1 menerusi sepakan terakhir perlawanan.

"Kami sangat gembira dan teruja," kata Montella kepada Turkish TV. "Banyak kebetulan berlaku hari ini, hari jadi saya ke-50, Eid di Turkiye dan aksi pertama Euro."

Menurutnya lagi: "Ia benar-benar hari sangat sempurna, dari segi semangat pemain dan hadiah terbaik untuk saya."

Namun Montella berkata, Turkiye sepatutnya dapat mengelakkan ancaman lewat Georgia jika mereka dapat membunuh perlawanan lebih awal dan pemainnya perlu lebih waspada menentang Portugal dan Republik Czech.

Ketika ditanya mengenai impian penyokong Turkiye, dia berharap mereka terus berdoa untuk kemenangan pasukan walaupun sesiapa sahaja di Dortmund tidak meletakkan harapan tinggi kepada skuadnya

"Kami sangat fokus dengan perlawanan ini," kata Montella kepada wartawan. "Kami menang (aksi pertama kumpulan) untuk kali pertama, jadi kami mahu mengekalkan momentum ini."

Menurutnya, Turkiye akan berusaha mencapai kemenangan ke atas Portugal pada Sabtu ini, pasukan yang tak pernah mereka atasi untuk layak ke saingan 16.

"Selepas itu akan ada lebih banyak lagi impian akan muncul," katanya.

Dalam pada itu, pengendali Georgia, Willy Sagnol tetap berbangga dengan penampilan anak buahnya walaupun tewas di tangan Turkiye.

Bermain buat julung kalinya di kejohanan utama, Georgia mengasak Turkiye hingga ke akhir permainan dan mempunyai beberapa peluang untuk menyamakan kedudukan.

"Saya rasa apabila tewas ia bukan sesuatu yang bagus, tetapi anda tahu bagi pasukan saya perkara paling penting ialah di tempat lain, dan kami memberikan imej yang baik untuk bola sepak Georgia. Saya rasa kami boleh berbangga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 7:58 AM