DALIC memberi arahan kepada pemainnya ketika menentang Albania. FOTO AFP
DALIC memberi arahan kepada pemainnya ketika menentang Albania. FOTO AFP
Reuters

Hamburg: Kecewa melepaskan gol saat akhir ketika menentang Albania semalam, Croatia kini fokus menewaskan Itali dalam aksi terakhir peringkat kumpulan untuk mara ke peringkat kalah mati.

Croatia mara ke final Piala Dunia 2018 dan separuh akhir di Qatar dua tahun lalu tetapi bergelut mengulangi prestasi di Kejohanan Eropah walaupun diperkuatkan pemain berpengalaman Luka Modric dan bakat muda Josko Gvardiol.

"Perkara paling penting ialah kami masih hidup. Kami perlu menang ke atas Itali," kata jurulatih Zlatko Dalic selepas pasukannya seri 2-2 di Hamburg untuk meraih satu mata namun tercorot dalam Kumpulan B berdasarkan perbezaan jaringan.

Menentang Albania yang menduduki ranking Fifa jauh lebih rendah, mereka dikejutkan dengan gol awal dan hanya mampu bangkit pada babak kedua menerusi dua jaringan sebelum Klaus Gjasula menyamakan kedudukan pada minit akhir perlawanan.

"Pada babak pertama kami beraksi sangat teruk. Kami sangat perlahan tetapi selepas rehat kami beraksi jauh lebih baik," kata Dalic.

"Kami memberikan segalanya untukk mendahului 2-1 dan sepanjang 45 minit, lawan kami tidak dapat menghantar bola melepasi garisan tengah. Tetapi pada masa tambahan kami agak kendur sehingga sehingga melepaskan gol."

Dalic yang pasukannya tewas 0-3 di tangan Sepanyol dalam aksi pembukaan berkata, dia tidak menjangka kejohanan kali ini sangat sukar buat Croatia tetapi menyedari pasukan besar lain turut bergelut.

"Piala Dunia dua tahun lalu dan secara perlahan kami bertambah usia dan kejohanan ini menunjukkan banyak pasukan berdepan kesukaran. Ia sangat terbuka buat semua pasukan."

Pemainnya mengetahui mereka perlu bertambah baik menjelang aksi getir menentang Itali.

"Memang kecewa. Perkara seperti ini tak boleh berlaku dalam pasukan seperti kami. Kami mendahului dan sepatutnya menang. Kami perlu belajar daripada kesilapan," kata pemain tengah Luka Sucic.

"Babak kedua lebih baik dan kami perlu beraksi seperti itu ketika menentang Itali dan kami pasti akan mara. Kami perlu menang dan berikan yang terbaik."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 9:53 AM