SPALLETTI (kiri) dan Dalic terdesak untuk mencari formula kemenangan. FOTO AFP
SPALLETTI (kiri) dan Dalic terdesak untuk mencari formula kemenangan. FOTO AFP
Reuters

Leipzig: Dengan luka yang perlu diubati dan memburu mata, Itali dan Croatia saling berhadapan sesama sendiri dalam perlawanan penentuan Kumpulan B bagi menghidupkan peluang di Euro 2024.

Kekalahan 0-1 Itali kepada Sepanyol yang dominan semalam dan keputusan seri 2-2 Croatia dengan Albania selepas melepaskan gol penyamaan pada masa kecederaan membuatkan kedua-dua pasukan cemas menuju perlawanan terakhir mereka.

Itali, berada di kedudukan kedua dengan tiga mata selepas kemenangan pembukaan mereka ke atas Albania, akan mara ke pusingan 16 terakhir sebagai naib juara jika mereka mengelak kekalahan.

Mereka tidak akan dapat mara jika kalah dan Albania menewaskan juara kumpulan, Sepanyol dalam penentuan Kumpulan B yang lain.

Situasi itu lebih mendesak buat Croatia kendalian Zlatko Dalic, yang memulakan kejohanan dengan kekalahan 0-3 kepada Sepanyol dan mengumpul satu mata.

Mereka akan mara sebagai naib juara jika menewaskan Itali dan Albania tidak menewaskan Sepanyol.

Keputusan seri, bagaimanapun, tidak mungkin cukup baik kerana tiada pasukan yang mara ke pusingan seterusnya dengan dua mata sejak pusingan akhir Euro berkembang kepada 24 pasukan pada 2016 – menawarkan tempat dalam 16 terakhir kepada empat penyudah terbaik di tempat ketiga.

Kekalahan Itali kepada Sepanyol mencetuskan tajuk berita yang mengecam dan tidak bermain dengan jiwa ketika mewakili negara.

La Gazzetta dello Sport mengecam pasukan Luciano Spalletti sebagai 'Little Italy' manakala Corriere dello Sport menuntut 'Reset'.

Spalletti berkata pemainnya kurang kesegaran, dan tertanya-tanya sama ada mereka memerlukan lebih banyak rehat selepas serangan tanpa henti Sepanyol menyebabkan mereka hanya mengejar bayang-bayang sepanjang 90 minit.

Perjuangan Croatia mengejutkan jurulatih Dalic, yang pasukannya mara ke separuh akhir Piala Dunia di Qatar dua tahun lalu dan final pada 2018.

"Kami tidak menjangka akan mengalami kisah sukar dalam dua perlawanan ini, ia adalah satu perjuangan," katanya selepas keputusan seri dengan Albania.

Isu utama bagi Croatia ialah permulaan mereka yang lembap untuk bermain.

Mereka melepaskan tiga gol kepada Sepanyol pada separuh masa pertama dan ketinggalan kepada Albania pada minit ke-11.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 7:38 PM