REAKSI penyokong Jerman yang menyaksikan perlawanan di tempat awam di Berlin. FOTO AFP
REAKSI penyokong Jerman yang menyaksikan perlawanan di tempat awam di Berlin. FOTO AFP
Reuters

Stuttgart, Jerman: Tugas Jerman untuk memastikan impian penyokong mereka menjadi kenyataan di Euro 2024, kata jurulatih Julian Nagelsmann selepas pasukannya mara ke peringkat 16 terakhir dengan menewaskan Hungary 2-0, awal pagi tadi.

Menurut Nagelsmann, dia mahu memastikan mereka mara lebih jauh dan bukan setakat memenangi saingan kalah mati bagi memenuhi harapan penyokong tuan rumah yang memberikan sokongan padu kepada pasukannya.

"Sangat menakjubkan dengan suasana dan hingar bingar dalam stadium. Ia menyuntik semangat anda dan memberikan perasaan yang hebat," katanya.

"Ia membantu kami. Sukar dipercayai kerana kami mempunyai ramai pemain berpengalaman dan berjaya tetapi sokongan seperti itu masih diperlukan.

"Jadi, menjadi tugas kami untuk memastikan impian penyokong menjadi kenyataan."

Jaringan Jamal Musiala dan Ilkay Gundogan memberikan kemenangan selesa Jerman ke atas Hungary yang membolehkan skuad tuan rumah muncul pasukan pertama mara ke peringkat kalah mati.

Menurut Nagelsmann kemenangan ke atas lawan sukar seperti Hungary yang lebih banyak bertahan menunjukkan kemajuan pasukannya sejak setahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 7:56 AM