PENYERANG Portugal Cristiano Ronaldo berpelukan dengan Conceicao selepas tamat perlawanan menentang Czech.  FOTO AFP
PENYERANG Portugal Cristiano Ronaldo berpelukan dengan Conceicao selepas tamat perlawanan menentang Czech. FOTO AFP
Reuters

Leipzig, Jerman: Pengurus Portugal Roberto Martinez memuji tahap disiplin pasukannya selepas mereka bangkit menewaskan Republik Czech 2-1 dalam saingan Euro 2024, awal pagi tadi.

Czech terlebih dahulu di depan tetapi Portugal muncul pemenang dalam aksi pertama kedua-dua pasukan hasil jaringan sendiri dan rembatan jarak dekat pemain gantian Francisco Conceicao pada masa kecederaan bagi membolehkan mereka meraih tiga mata dalam Kumpulan F.

"Hari ini kami menunjukkan kesungguhan tetapi juga tahap disiplin tinggi. Kami bermain, menguasai perlawanan dan kami tidak melepaskan gol seperti jaringan dimiliki Czech. Itu yang paling penting," kata Martinez kepada wartawan.

"Hari ini juga kami tunjukkan nilai mengagumkan dan pamerkan kekuatan 23 pemain serta penjaga gol. Saya berterima kasih kepada penyokong, atmosfera yang mereka cipta sehingga kami mencapai kemenangan."

Portugal ketinggalan dalam dua aksi persahabatan mereka tahun ini dan kemudiannya tewas tetapi kali ini Portugal bangkit pada masa tepat ketika menentang Czech yang turut disumbangkan hasil kerja keras pemain terbaik perlawanan Vitinha.

"Dia pemain sangat penting dalam semua aksi persahabatan, dalam dan luar padang. Kami memiliki pasukan sangat kompetitif dan sangat penting mempunyai pemain seperti Vitinha yang dapat membantu kami mengawal permainan," kata Martinez.

"Kami ketinggalan satu gol dan masih mampu menang. Kami tewas dengan Slovenia selepas ketinggalan, begitu juga dengan Croatia tetapi hari ini kami menang."

Penyerang muda Porto Conceicao masuk daripada bangku simpanan pada minit ke-90 dan kurang dua minit selepas itu dia memanfaatkan kesilapan pertahanan Czech untuk menjaringkan gol kemenangan.

"Francisco memang berhak berada di sini dan menunjukkan dia benar-benar bersedia membantu kami," kata Martinez.

"Pemain yang sangat natural, dia pantas menghidu peluang dalam kotak penalti.

"Francisco melakukan apa yang dilakukannya bersama kelab sejak empat bulan lalu tetapi ia tidak mudah. Namun dia menunjukkan karakter dan kemampuannya sehingga dia tersenarai dalam skuad."

Portugal mendominasi kedua-dua penguasaan dan peluang dicipta. Walaupun mereka hampir dihukum Czech, Matinez tetap memuji pemainnya.

"Ia aksi sukar hari ini tetapi kami berhak menang dan bagi jurulatih kebangsaan, sangat berbangga memiliki kumpulan pemain yang bersemangat tinggi dan mengambil berat satu sama lain," tambah Martinez lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2024 @ 7:08 AM