GAMBIT Saifullah jadi pilihan penerbit dan pengarah.
GAMBIT Saifullah jadi pilihan penerbit dan pengarah.
Ramlah Zainal


WATAK lelaki songsang dalam drama Suamiku Lelaki Pendosa untuk Slot Samarinda, TV3 berjaya menaikkan nama dan populariti pelakon Gambit Saifullah di persada seni tanah air.

Malah, lakonan mantapnya berganding dengan pelakon popular, Datuk Aaron Aziz itu juga berjaya melayakkan Gambit menggenggam trofi Pelakon Antagonis Terbaik, Tonton Anugerah Drama Sangat (TADS) pada tahun lalu.

Namun, selepas drama itu, kelibat wajah Gambit agak jarang muncul di televisyen, sejak kebelakangan ini.

Secara peribadi, Gambit atau nama sebenarnya, Mohd Saifullah Rosli, 39, mengakui dia ada cara tersendiri untuk kekal relevan dalam bidang lakonan.

"Sebenarnya, saya akan berehat panjang selepas selesai sesuatu projek drama.

"Kadang kala, saya berlakon dua tahun dan kemudian bercuti pula setahun. Ada kalanya, saya berlakon setahun dan lepas itu bercuti pula sebulan," katanya.

Sebagai pelakon berpengalaman, Gambit berkata, selain kerjaya seni, dia juga memerlukan ruang untuk kehidupan peribadinya.

"Saya juga sama seperti orang lain perlukan ruang untuk diri sendiri selepas penat bekerja.

"Bukan hanya untuk menjaga nilai eksklusif sahaja sebaliknya seseorang pelakon perlu ada masa untuk 'recharge' semula tenaga sebelum kembali dengan projek baharu," katanya.

Mengenai karier lakonan pula, Gambit berkata, dia bersyukur kerana setiap lakonannya mendapat sambutan baik dari penonton walaupun wajahnya jarang menghiasi di televisyen.

"Saya tidak nafikan kehidupan sebagai selebriti menarik tetapi saya bukan orang yang begitu kerana saya ada kehidupan peribadi sendiri.

"Kita juga perlu melihat tujuan hidup masing-masing dan bagaimana seseorang itu mengukur tahap kejayaan mereka.

"Saya juga bersyukur kerana setiap kali selepas saya kembali dengan projek drama baru selepas bercuti panjang, naskhah itu berjaya menarik perhatian penonton," katanya.

Ditanya watak diidamkan pula, kata Gambit dia mahu melakonkan watak yang mencabar lakonan seperti autisme.

"Saya menang berminat untuk melakonkan watak berbeza seperti cacat penglihatan atau bisu dalam lakonan.

"Sebagai orang yang normal memang sukar untuk melakonkan watak sedemikian tetapi saya memang sedia menyahut cabaran itu.

"Saya memang tidak suka watak tipikal kerana penting untuk seseorang pelakon mencabar lakonan dengan watak berbeza sekali gus mendapat kepuasan dalam lakonan," katanya.

Sementara itu, berkongsi projek terbarunya pula, kata Gambit dia kini terbabit dengan penggambaran drama bersiri lapan episod berjudul Pinjaman Syurga untuk Slot Samarinda TV3.

Dalam drama arahan Shuhaimi Zulkefli itu, Gambit bergandingan dengan barisan pelakon popular seperti Janna Nick, Keith Foo dan Fizo Omar. Fizo melakonkan watak autisme dalam drama terbitan Anomali Media Sdn Bhd itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 6:00 AM