MBAPPE bergambar bersama Ronaldo ketika bintang Portugal itu beraksi bersama Real Madrid. FOTO instagram k@mbappe
MBAPPE bergambar bersama Ronaldo ketika bintang Portugal itu beraksi bersama Real Madrid. FOTO instagram k@mbappe
Agensi

London: Cristiano Ronaldo mencipta rekod baharu untuk tanda suka terbanyak di media sosial susulan ucapan tahniah kepada Kylian Mbappe yang berpindah ke Real Madrid.

Mbappe menyertai Real dengan perpindahan percuma, menandatangani kontrak lima tahun dan bakal menerima £12.8 juta (RM76.80 juta) setahun, kurang daripada £21.4 juta (RM128.41 juta) yang diterimanya di PSG.

Bintang Perancis itu pantas menunjukkan perasaan gembira dengan memuat naik di media sosial beberapa gambar lama bersama Real selain menyatakan kebanggaannya menyertai kelab impiannya itu.

Salah satu gambar menunjukkan Mbappe bersama Ronaldo yang beraksi dengan Real ketika itu dan bintang Portugal itu pantas memberikan responnya.

Ronaldo menulis: 'Giliran saya untuk menonton. Gembira melihat anda menyerikan Bernabeu. #HalaMadrid'.

Ronaldo menikmati musim gemilang di Real selepas meledak 450 gol dalam 438 perlawanan dan menjulang sebilangan trofi termasuk empat Liga Juara-Juara.

Mbappe pula menjaringkan 256 gol dalam 308 bersama PSG dan menjuarai enam gelaran liga.

Komen Ronaldo itu kini melepasi 4.6 juta tanda suka sekali gus memintas rekod milik Reed Harrington pada 2023 yang meraih 3.6 juta tanda suka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2024 @ 5:58 PM