MBAPPE pemain paling tertinggi memperoleh bayaran selama setahun. FOTO AFP
MBAPPE pemain paling tertinggi memperoleh bayaran selama setahun. FOTO AFP
AFP

New York: Penyerang superstar Perancis, Kylian Mbappe akan memperoleh rekod pendapatan tahunan AS$128 juta (RM595.2 juta) sekali gus mengungguli senarai pemain bola sepak dunia dengan bayaran tertinggi, menurut laporan majalah Forbes.

Majalah itu menyatakan Mbappe melepasi pencapaian AS$100 juta (RM465 juta) pada usia 23 tahun manakala legenda seperti Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo berusia 30-an ketika kali pertama meraih pendapatan sebanyak itu.

Mbappe menandatangani lanjutan kontrak selama tiga tahun pada Mei lalu untuk kekal bersama kelab gergasi Ligue 1, Paris-Saint Germain (PSG).

Forbes melaporkan perjanjian itu akan menyaksikan Mbappe meraih gaji dan bonus kira-kira AS$110 juta (RM511.5 juta) selain anggaran tambahan pendapatan tahunan AS$18 juta (RM83.7 juta) daripada syarikat seperti Nike, Dior, Hublot dan Oakley.

Mbappe yang berada di muka depan permainan video EA Sports FIFA, mengasaskan syarikat pengeluaran Zebra Valley dan pelabur dalam platform fantasi NFT, Sorare.

"Dia sudah menjadi ikon global. Dia mahu membantu dunia dan membuktikan bahawa perkara besar boleh dibina di Perancis." kata pengasas bersama Sorare, Nicolas Julia kepada Forbes.

Rakan sepasukannya di PSG, Messi, 35, menduduki tempat kedua dengan pendapatan AS$120 juta (RM558 juta) manakala Ronaldo dari Manchester United, 37, ketiga iaitu $100 juta (RM465 juta).

Secara keseluruhan, 10 pemain teratas akan meraih pendapatan AS$652 juta (RM3.03 bilion) musim ini, lonjakan 11% daripada angka AS$585 juta (RM2.7 bilion) tahun lalu.

Mbappe, Messi dan Ronaldo menyumbang lebih separuh daripada jumlah itu.

Penyerang PSG, Neymar dari Brazil menduduki tempat keempat dengan AS$87 juta (RM404.5 juta) diikuti bintang Liverpool, Mohamed Salah AS$53 juta (RM246.4 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2022 @ 7:53 AM