JUVENTUS tak kisah ‘korbankan’ Ronaldo untuk mendapatkan Mbappe.   FOTO AFP
JUVENTUS tak kisah ‘korbankan’ Ronaldo untuk mendapatkan Mbappe. FOTO AFP
Agensi

London: Juventus dilaporkan sedia memecah rekod dunia dengan menawarkan bidaan berjumlah £360 juta (RM1.932 bilion) untuk membawa Kylian Mbappe ke kelab itu.

Media Itali, Tuttosport mendakwa juara Serie A itu sedia mengorbankan Cristiano Ronaldo dalam usaha mendapatkan bintang Paris Saint-Germain.

Laporan itu turut menambah Juve tidak akan mampu membiayai kedua-duanya, pemenang Ballon d'Or dan superstar Perancis itu pada masa yang sama.

Situasi itu bakal menyaksikan skuad Andrea Pirlo memasukkan Ronaldo dalam perjanjian untuk memastikan pemenang Piala Dunia itu berpindah ke Turin.

Bagaimanapun, PSG mungkin sukar melepaskan Mbappe, 21, dan menerima Ronaldo berusia 35 tahun yang bergaji £540,000 (RM2.89 juta) seminggu sebagai pertukaran.

Sebelum ini, SunSport melaporkan gergasi Ligue 1 itu sedia menimbangkan untuk mendapatkan bekas superstar Real Madrid itu.

Ronaldo kerap dikaitkan dengan kelab Perancis itu tetapi mahu terlebih dahulu menamatkan kontrak dengan Juventus yang berakhir pada 2022.

Laporan mendakwa dia hampir menyertai PSG awal tahun ini tetapi tidak menjadi kenyataan.

Ejennya, Jorge Mendes turut bertemu pengarah sukan PSG, Leonardo dalam usaha menandatangani perjanjian tetapi hasrat untuk menyaksikan gandingan Ronaldo, Mbappe dan superstar Brazil, Neymar sukar berlaku.

Ini kerana penyerang, Mbappe mahu meninggalkan Parc des Princes pada musim panas ini dengan Real Madrid menjadi kelab pilihan menandatanganinya.

Dilaporkan dia sepatutnya berpindah ke gergasi La Liga itu sebelum pandemik koronavirus menghentikan aktiviti bola sepak.

Mbappe dipercayai menerima gaji £375,000 (RM2 juta) seminggu di Paris tetapi dia sedia mengurangkannya jika berjaya berpindah ke Bernabeu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2020 @ 11:50 PM