RONALDO (kanan) bersama Messi (kiri) dan Neymar pada perlawanan persahabatan di Riyadh. FOTO AFP
RONALDO (kanan) bersama Messi (kiri) dan Neymar pada perlawanan persahabatan di Riyadh. FOTO AFP
AFP

Riyadh: Cristiano Ronaldo yang pulih daripada tumbukan ke mukanya menjaringkan dua gol ke atas Paris Saint-Germain pada perlawanan persahabatan mewah yang menemukannya dengan musuh ketat, Lionel Messi di Arab Saudi.

Ronaldo, 37, ditumbuk penjaga gol PSG, Keylor Navas, tetapi dia kemudian menyempurnakan sepakan penalti susulan kekasaran itu dan menambah jaringan ketika pasukannya tewas 4-5 di Stadium Raja Fahd, Riyadh.

Ia adalah penampilan pertama Ronaldo di bumi Arab Saudi, tetapi mewakili pasukan terbaik gandingan kelab baharunya, Al Nassr dan seteru mereka Al Hilal.

Bagi PSG yang dimiliki jutawan Qatar, Messi dan Kylian Mbappe menjaringkan gol manakala Neymar gagal menyempurnakan sepakan penalti sebelum mereka dikeluarkan selepas sejam perlawanan bersama-sama Ronaldo.

Empat pemain dengan bayaran paling mahal di dunia itu kemudian menyaksikan perlawanan dari bangku simpanan.

Pemain bernilai ratusan juta euro beraksi dalam perlawanan persahabatan di ibu negara Arab Saudi itu selepas beberapa minggu Qatar menganjurkan Piala Dunia kali pertama di tanah Arab dan dimenangi Messi bersama Argentina.

Messi menjaringkan gol pembukaan selepas tiga minit perlawanan sebelum Ronaldo menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-34.

Lima minit kemudian, pemain PSG, Juan Bernat dilayangkan kad merah kerana mengasari Salem Al-Dawsari - pemain Arab Saudi yang menjaringkan gol kemenangan ke atas Argentina di peringkat kumpulan di Piala Dunia Qatar.

PSG kembali mendahului menerusi Marquinhos sebelum Neymar gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Ronaldo sekali lagi menyamakan kedudukan ketika permainan menuju rehat apabila bola tandukannya yang terkena tiang masuk ke dalam gawang.

Selepas rehat, Mbappe membuat umpanan untuk jaringan Sergio Ramos sebelum Hyun-soo Jang menyamakan kedudukan untuk pilihan Riyadh.

Mbappe menyempurnakan sepakan penalti dan Hugo Ekitike menjadikan kedudukan 5-3 sebelum penyerang Brazil, Talisca menjaringkan gol keempat pasukannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2023 @ 10:08 AM