AFP

London: Chelsea melantik bekas pengurus Leicester, Enzo Maresca sebagai pengurus baharu mereka dengan kontrak lima tahun untuk menggantikan Mauricio Pochettino yang meninggalkan kelab itu.

Pengurus berusia 44 tahun dari Itali itu menarik perhatian pengurusan Chelsea selepas memimpin Leicester untuk memenangi Liga Kejuaraan musim lalu dalam tahun pertamanya di Stadium King Power.

Beberapa calon dikaitkan dengan jawatan pengurus Chelsea sebaik Pochettino meninggalkan kelab itu hanya selepas satu musim mengendalikan pasukan.

Bekas pengurus Brighton, Roberto De Zerbi; pengurus Ipswich, Kieran McKenna dan Thomas Frank dari Brentford dilaporkan turut dikaitkan dengan Chelsea sebelum kelab barat London itu memutuskan untuk memilih Maresca.

"Kami berbesar hati untuk mengalu-alukan kedatangan Enzo ke Chelsea," kata Laurence Stewart dan Paul Winstanley, pengarah sukan bersama Chelsea dalam satu kenyataan.

"Beliau sudah membuktikan dirinya sebagai seorang jurulatih cemerlang yang mampu memberikan keputusan mengagumkan dengan gaya permainan menarik.

"Enzo sangat meyakinkan kami dalam perbincangan kami sebelum pelantikannya. Cita-cita dan etika kerjanya selaras dengan kelab ini," kata kenyataan itu lagi.

Maresca, yang pernah menjadi kakitangan Pep Guardiola di Manchester City, akan memulakan peranan barunya pada 1 Julai dengan kontrak lima tahun serta pilihan lanjutan selama setahun lagi.

"Menyertai Chelsea, salah satu kelab terbesar di dunia, adalah impian bagi mana-mana jurulatih. Itulah sebabnya saya sangat teruja dengan peluang ini.

"Saya berharap dapat bekerja dengan kumpulan pemain dan kakitangan yang sangat berbakat untuk meneruskan tradisi kejayaan kelab dan membanggakan penyokong kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2024 @ 9:01 AM